Mat Sabu pertimbang tindakan undang-undang terhadap KJ

Setiausaha Akhbar Kepada Menteri Pertahanan, Amin Shah Iskandar berkata Khairy membuat dakwaan walaupun kementerian sudah menjelaskan isu berkenaan dalam kenyataan pada 15 Januari.

PETALING JAYA: Menteri Pertahanan Mohamad Sabu mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin berhubung dakwaan menggunakan jentera tentera untuk berkempen pada pilihan raya kecil Cameron Highlands.

Setiausaha Akhbar Kepada Menteri Pertahanan, Amin Shah Iskandar berkata peguam peribadi Mohamad akan menghantar notis tuntutan kepada bekas menteri belia dan sukan dalam jangka masa terdekat.

“Mohamad kesal dengan kenyataan fitnah dikeluarkan Khairy daripada parti pembangkang Barisan Nasional (BN) di Cameron Highlands hari ini.

“Pada sidang media di Kampung Orang Asli Sungai Ruil di Brinchang hari ini, bekas ketua pemuda Umno mengeluarkan kenyataan fitnah mengatakan menteri pertahanan menggunakan jentera ATM ketika berkempen untuk Pakatan Harapan (PH) di PRK Cameron Highlands.

“Peguam peribadi kepada menteri pertahanan akan menghantar notis tuntutan kepada Khairy dalam jangka masa terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amin berkata, Khairy membuat dakwaan itu walaupun Kementerian Pertahanan sudah menjelaskan isu berkenaan dalam satu kenyataan 15 Januari lalu.

Khairy dilapor kesal kenderaan dikatakan milik Jabatan Perhutanan digunakan jentera PH untuk berkempen, termasuk dakwaan mengatakan Mohamad ke Cameron Highlands menggunakan jentera tenterea.

“Ini tak termasuk lawatan menteri sempena PRK dengam alasan kebetulan atau dirancang awal. Termasuk Mat Sabu datang guna jentera ATM.

“Apa yang mereka tuduh BN selama ini guna jentera kerajaan, mereka yang amalkan lebih teruk lagi,” kata Khairy.