Rumah PPR untuk pemandu teksi dalam perancangan, kata timbalan menteri

Permohonan rumah PPR memerlukan masa sekurang-kurangnya 3 ke 4 bulan untuk diproses. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Ketiadaan pangkalan data lengkap melengahkan usaha memberi unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) kepada pemohon berkelayakan, kata kerajaan.

Ia juga mempersoal tindakan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak bercakap mengenai isu itu bagi pihak pemandu teksi sedangkan beliau boleh membantu mereka lama sebelum ini.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad berkata, kerajaan tidak mempunyai masalah untuk menimbangkan permohonan pemandu teksi bagi mendapatkan rumah PPR kerana keadaan hidup mereka yang tidak begitu baik.

Bagaimanapun kata beliau, kementeriannya memerlukan lebih banyak masa untuk meneliti setiap permohonan kerana ia tidak mempunyai pangkalan data lengkap mengenai PPR, seperti senarai lengkap pemilik dan mereka yang layak memohon.

“Kita akan menimbangkan permohonan rumah PPR pemohon yang layak.

“Masalah yang kita hadapi ialah tiadanya pangkalan data lengkap daripada kerajaan lepas.

“Kita perlu masa untuk meneliti dan menyemak maklumat terperinci, memeriksa kelayakan dan kesahihan permohonan,” katanya kepada FMT.

Raja Kamarul berkata, adalah penting untuk dipastikan siapakah yang memerlukan rumah berkenaan dan sama ada mereka layak memilikinya.

“Ini kerana pada masa dulu, terrdapat sebilangan orang yang diberikan rumah PPR walaupun mereka memiliki unit atau rumah di tempat lain dan tidak layak memohon.

“Selain itu, terdapat unit rumah yang diagihkan kepada orang tertentu yang mempunyai hubungan politik.

“Jadi sasaran kita sekarang ialah memastikan mereka yang mendapat rumah PPR adalah orang yang memerlukannya.”

Beliau berkata, permohonan diterima daripada semua golongan masyarakat, bukan hanya pemandu teksi.

Baru-baru ini Najib menggesa kerajaan menimbangkan kemungkinan memberi rumah PPR kepada pemandu teksi dengan berkata, ramai daripada mereka tidak memiliki rumah.

Katanya, golongan itu pernah “merayu sebelum ini”, tetapi tidak ada respons.

“Bagi saya ini tidak adil,” beliau dilaporkan berkata.

Raja Kamarul berkata, adalah tidak adil bagi Najib untuk berkata bahawa Pakatan Harapan (PH) tidak mengutamakan pemandu teksi yang memerlukan pertolongan.

“Permohonan itu memerlukan masa sekurang-kurangnya 3 ke 4 bulan untuk diproses.

“Selain itu kita perlu menyusun semula data, dan ada juga masalah yang timbul berikutan projek tergendala.”

Katanya, beliau telah menemui beberapa bank supaya memberi kelonggaran kepada pemohon bagi membolehkan mereka mendapat pinjaman.

Beliau berkata, Najib sepatutnya melakukan perkara itu lama dahulu semasa berkuasa.

Raja Kamarul juga berkata, kementeriannya kini sedang mengurus dan mengemas kini agensi perumahan di bawah portfolio beliau, termasuk program Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip) dan Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).