Tiada manfaat pemandu e-panggilan daftar PSV, kata persatuan

MeHDA berkata, pendaftaran PSV tidak memberi apa-apa kelebihan kepada pemandu e-panggilan, sebaliknya mereka terpaksa beli insuran tambahan untuk penumpang.

KUALA LUMPUR: Pemandu e-panggilan di Malaysia tidak mendapat manfaat daripada keputusan Putrajaya mewajibkan pemandu menggunakan aplikasi mendaftar lesen kenderaan perkhidmatan awam (PSV) bermula Januari hingga Julai tahun ini.

Persatuan Pemandu Perkhidmatan E-Hailing Malaysia (MeHDA) berkata, kerajaan tampak memihak kepada pemandu teksi walaupun Putrajaya berjanji mengawal selia perkhidmatan e-panggilan melalui Akta Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017 dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) (Pindaan) 2017.

“Pemandu e-panggilan tidak dapat bantuan atau subsidi walaupun kita ambil PSV seperti pemandu teksi yang mempunyai insentif lain. Memang tidak adil. Kita tidak akan dapat kerana kenderaan kita berstatus individu, bukannya berstatus komersil.

“Jika hendak katakan ada kelebihan memang tidak ada, sebaliknya cuma wajibkan PSV dan kita terpaksa buat, bahkan terpaksa beli insuran tambahan untuk penumpang. PSV itu dibuat kerana mereka mahu kawal pemandu,” kata Presiden MeHDA, Daryl Chong kepada FMT.

Terdahulu Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata, pemandu diberi tempoh sehingga 12 Julai 2019 untuk menyelesaikan pendaftaran lesen PSV mereka, termasuk mengikuti kursus PSV.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 21 Oktober tahun lalu memberi jaminan kerajaan akan membantu pemandu teksi berdepan dengan persaingan daripada syarikat e-panggilan.

Daryl berkata, Putrajaya juga perlu menyelesaikan masalah perbezaan harga antara kadar tambang yang dikenakan pemandu teksi dengan pemandu e-panggilan memandangkan perkara itu sering dibangkitkan pemandu teksi.

“Memang betul apabila waktu puncak hendak naik kenderaan e-panggilan memang mahal, kadang kala naik sampai 2 kali ganda, tetapi teksi tidak macam itu. Tambang teksi dengan e-panggilan ini jurangnya besar. Contohnya kalau naik teksi tambangnya RM10, tetapi naik kenderaan e-panggilan hanya RM5-RM6.

“Bagaimanapun, teksi di Malaysia ini apabila penumpang buka sahaja pintu, maka tambang minimum adalah RM3 ringgit, sedangkan e-panggilan RM2. Kalau kerajaan tidak campur tangan maka ‘market’ memang boleh terjejas. Tetapi tambang e-panggilan masih lagi rendah,” katanya.

Jelasnya, penyelarasan harga di antara teksi dengan kenderaan e-panggilan akan menyelesaikan masalah dan rasa tidak puas hati antara pemandu teksi dengan e-panggilan.

“Setiap syarikat e-panggilan di Malaysia akan cuba memotong dan memperkenalkan harga lebih murah supaya pengguna tidak ditindas. Tujuan yang sebenarnya adalah untuk ‘gain market’. Sejak persatuan ditubuhkan memang kita bising dengan Kementerian Pengangkutan.

“Sepatutnya kena ada harga lantai dan harga siling. Jika ada harga lantai maka pemandu e-panggilan tidak ditindas, bahkan jika ada harga siling pelanggan pula tidak rasa ditipu,” katanya.

Daryl turut menggesa Kementerian Pengangkutan campur tangan berkaitan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan syarikat e-panggilan kepada pemandunya memandangkan pemandu tidak mempunyai “kebebasan” untuk mempertahankan diri.

“Kerajaan mesti campur tangan dalam isu SOP syarikat e-panggilan kerana terdapat syarikat memberikan layanan buruk kepada pemandu.

“Misalnya saya bawa seorang pelanggan dan dia rasa tidak puas hati terhadap saya, apabila ada aduan sebanyak 3 kali dibuat terhadap saya, maka saya akan kena buang atau ‘suspend’.

“Syarikat tidak pernah tanya apakah pandangan dan penjelasan kita berhubung perkara berkenaan. Pemandu e-panggilan susah hendak cari makan. Ada juga pemandu yang bekerja dalam ‘ketakutan’,” katanya.