Bagaimana anda mencuci wajah? Ia adalah perkara yang paling mudah dan dilakukan sejak lahir tetapi tahukah anda ia mungkin dilakukan secara salah.

Ramai yang berdepan pelbagai masalah kulit, kegatalan, kusam atau kondisi kulit yang tidak sihat dan sebahagian daripada faktornya disebabkan kegagalan membersihkan kulit muka dengan betul.

Mencuci wajah bukan hanya sekadar mengusapkan sabun dan membilasnya dengan air. Ada cara untuk diikuti agar proses membersih bermanfaat untuk kulit wajah.

Berikut adalah panduan mudah cara mencuci wajah dengan betul seperti yang dikongsi oleh Akademi Dermatologi Amerika Syarikat kepada CNN Health.

Langkah mudah ini pasti akan memberikan cara sihat membersihkan wajah.

1. Gunakan pembersih wajah yang lembut dan tidak bersifat abrasif atau mengandungi alkohol. Pastikan juga pembersih wajah itu sesuai dengan jenis kulit seperti kulit kering, berminyak atau berjerawat.

2. Basahkan wajah dengan air suam-suam kuku dan gunakan hujung jari untuk mengaplikasi pembersih. Anda juga boleh menggunakan span lembut mesra kulit wajah selain hujung jari untuk menyental.

3. Bagaimanapun jangan gosok secara paksa atau kuat sebaliknya buat perlahan. Ia mengelakkan iritasi kulit.

4. Bilas semula kulit muka dengan air suam dan keringkan dengan tuala lembut.

5. Sapu pelembap jika kulit anda tergolong dalam kulit jenis kering atau kulit terasa gatal. Sapu lembut khususnya di sekitar mata supaya tidak terlalu menarik kulit halus yang berada di kawasan tersebut.

6. Terhadkan mencuci muka 2 kali sehari atau setelah peluh. Amalkan mencuci muka pada pagi, sebelum memulakan hari anda dan di waktu malam sebelum tidur.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]