Gambar Bernama

S.Vickneswary bersiap sedia untuk menjunjung belanga kecil yang diisi susu untuk menunaikan nazar tahunannya sempena Thaipusam.

Selain menjunjung belanga susu, Vickeneswary, atau lebih mesra dikenali sebagai Vicky akan turut mencucuk logam berbentuk ‘vel’ pada lidahnya.

Menariknya dia juga baru sahaja menghabiskan perjalanan kaki sejauh kira-kira 18km mengikuti kereta berhala dari kuil Sri Mahamariamman di Jalan Tun H.S.Lee ke kuil Sri Subramaniam di Batu Caves.

Kesemua nazar ini dilakukan secara berkala kecuali berjalan bersama kereta berhala yang dilakukan setiap tahun.

Ini kali ke-3 wanita berusia 37 tahun itu mencucuk logam ‘vel’, 2 kali sebelum dia mendirikan rumahtangga. Setelah sekian lama, Vicky bernazar lagi dan disokong sepenuhnya oleh suami, Paul Kevin, 37, yang turut membantu dalam menajamkan logam tersebut supaya proses mencucuk lebih lancar dan mudah.

“Saya bernazar demi keluarga tanpa memikirkan ‘sakit’ atau kesannya. Bagi saya ia dilakukan sebagai nazar dan semuanya bergantung kepada kekuatan dalaman diri.

“Apabila logam diasah tajam, ia memudahkan proses mencucuk pada lidah. Sami yang bertugas akan melakukan upcara sembahyang terlebih dahulu sebelum menyampaikan belanga kecil berisi susu dan mencucuk lidah secara senget supaya saya dapat menutup mulut sepanjang perjalanan menaiki 272 tangga dan beberapa tangga lagi di atas gua Baru Caves,” kata Vicky.

Gambar Bernama

Sebelum menunaikan nazar, Vicky turut mengamalkan pemakanan nabati atau vegetarian dan beberapa ritual lain selama lebih sebulan, iaitu 48 hari yang juga dikenali sebagai satu mandala dalam pengiraan agama Hindu.

Vicky antara jutaan penganut ke kuil Dewa Muruga pada Thaipusan dan ribuan yang membayar nazar dalam pelbagai bentuk, daripada seringkas menjunjung belanga susu pelbagai saiz hinggalah nazar yang lebih mencabar termasuk mencucuk jarum cangkuk di tubuh badan.

Thaipusam selain menyambut kelahiran Dewa Muruga turut terkenal sebagai hari menunaikan nazar. Sememangnya seseorang itu kena bersedia dari segi rohaniah dan spiritual sebelum menunaikan nazar, sama seperti mana-mana agama lain.

Pembawaan kavadi adalah paling terkenal pada Thaipusam dan terdapat beberapa mitologi yang berkait dengannnya.

Paling popular ialah untuk menyambut Dewa Muruga dengan membawa pelbagai kavadi berhias, menjunjung dengan menari dan disembah kepada dewa berkenaan.

Kedua ialah sebagai menjunjung beban yang diertikan sebagai masalah dan diturunkan beban itu kepada Dewa untuk diuruskan.

Ketiga ialah sebagai menunaikan nazar.

Selain menjunjung kavadi, penganut Hindu juga turut menunaikan pelbagai bentuk nazar yang lain.

Antaranya ialah mencucuk logam vel di lidah atau antara mulut, mencucuk cangkuk jarum yang dipasang belanga mini diisi susu atau cangkuk buah limau pada bahagian depan dan belakang badan, berjalan di atas selipar paku, membotakkan kepala, memecah kelapa dan banyak lagi.

Namun, kavadi tetap menjadi signifikan utama Thaipusam.

Gambar Bernama

Di bawah disenaraikan bebrapa jenis kavadi yang paling popular dibawa dengan cara menjunjung atau cucuk jarum atau kedua-duanya sepanjang meniti tangga dan akhirnya berakhir di mana-mana kuil Dewa Muruga.

1) Kavadi susu

Paling biasa dilakukan kedua-dua wanita dan lelaki. Belanga susu pelbagai saiz dibawa sama ada menjunjung di kepala atau dibawa tangan. Ada yang dipasang bersama kavadi kecil dan dijunjung. Belanga susu akan ditutup supaya tidak dicemari.

2) Kavadi berhias atau merak

Kavadi jenis ini lazimnya dibawa dalam skala besar oleh beberapa orang lelaki. Ia dihias secara mewah menggunakan bulu merak, loceng dan dekorasi keagamaan lain dan dijunjung secara bergilir kerana beratnya yang tidak mampu ditanggung seorang, apatah lagi untuk perjalanan yang jauh. Para penjunjung juga akan menari dalam perjalanan.

3) Kavadi bunga

Kavadi ini mengutamakan hiasan menggunakan bunga-bunga hidup yang tidak layu. Ia sama ada bersaiz besar atau kecil mengikut kemampuan dan lazimnya dijunjung oleh kaum lelaki, dari kanak-kanak hingga dewasa.

4) Buaian tebu

Ibu bapa akan mengikat kain di antara 2 atau lebih batang tebu seperti buaian dan meletakkan bayi di dalam. Mereka akan menjunjung bayi dalam buaian tebu dibawa naik memanjat tangga kuil. Nazar ini dilakukan sebagai tanda berterima kasih dikurniakan cahaya mata, mungkin menyelamatkan bayi itu dari masalah perubatan atau demi kesejahteraan bayi.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]