Kerajaan digesa henti ambil pekerja Bangladesh, cegah rasuah

Jumlah pekerja asing yang bekerja secara sah di negara ini dianggarkan seramai 1.73 juta orang dari pelbagai negara seperti Indonesia, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Pakistan dan China. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menghentikan pengambilan pekerja Bangladesh bagi membendung gejala rasuah dalam kalangan ejen, majikan, pegawai penguat kuasa dan agensi kerajaan yang membawa masuk pekerja asing, kata bekas presiden Persatuan Bekas Kakitangan Imigresen Malaysia, Che Hassan Che Johan.

Selepas bersara, Che Hassan mendapati ejen merupakan dalang utama dalam merasuah penguat kuasa serta majikan bagi membawa masuk seberapa banyak pekerja asing haram, khususnya dari Bangladesh.

Che Hassan mendakwa ejen Bangladesh akan menawarkan “harga jualan” sekurang-kurangnya RM3,000 untuk seorang pekerja Bangladesh kepada ejen tempatan atau wakil majikan yang ingin mendapatkan khidmat pekerja asing dari negara mereka.

“Mereka hanya perlu memastikan majikan menyelesaikan proses perjanjian pekerja dan disahkan oleh kedutaan Bangladesh di Malaysia, visa rujukan juga telah dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen dan apabila pekerja tersebut tiba di Malaysia, wang akan berpindah ke tangan wakil majikan atau pengarah syarikat,” katanya.

Che Hassan Che Johan

Ada juga sesetengah ejen Bangladesh terus berjumpa dengan pemilik kilang atau pengarah syarikat supaya menerima tawaran rasuah untuk mengambil pekerja mereka dan ejen akan memperoleh komisen setelah mendapat lampu hijau untuk membawa masuk pekerja Bangladesh kepada majikan yang memerlukan pekerja.

Dalam pada itu, ejen pekerja Bangladesh turut mengenakan bayaran antara RM10,000 hingga RM15,000 ke atas warga Bangladesh yang berminat mencari kerja di Malaysia, tambahnya.

“Saya pernah bertanya beberapa pekerja Bangladesh yang datang ke Malaysia sekitar bulan Mei tahun lalu, mereka membayar kepada ejen dengan jumlah RM10,000 seorang hanya untuk datang bekerja di Malaysia.

“Ada yang terpaksa menjual harta mereka, pajak di bank, pinjam daripada ah long, jual tanah pusaka, serta menjual ternakan lembu, kerbau dan kambing untuk membayar kepada ejen pekerja asing tersebut,” katanya.

Ejen tidak ikut perjanjian

Pihak majikan turut menghadapi tekanan apabila terpaksa membelanjakan wang yang banyak kepada ejen untuk membolehkan pekerja Bangladesh datang bekerja di syarikat mereka.

“Ejen pekerja Bangladesh masih tidak mengikut perjanjian secara ‘government to government’ dengan kerajaan Malaysia kerana perbelanjaan yuran pekerja hendaklah diselaraskan di bawah RM5,000, tetapi segala perbelanjaan yang dibayar oleh majikan ketika ini melebihi RM10,000,” katanya.

Perkara itu jarang berlaku dalam pengambilan pekerja asing dari Indonesia dan Nepal kerana ejen dari kedua-dua negara itu tidak mampu untuk menyogok seperti ejen pekerja Bangladesh yang dapat mengaut keuntungan yang banyak hanya dengan membawa masuk pekerja dari Bangladesh.

Che Hassan berkata, usaha untuk melumpuhkan lambakan kemasukan pekerja asing yang mempunyai permit dan secara haram bukan mudah kerana ia melibatkan pelbagai pihak.

“Perihal pekerja asing berada bawah penguatkuasaan Kementerian Dalam Negeri, ia boleh ditangani sama ada melalui kuasa politik atau pegawai bawahan seperti bahagian kelulusan pekerja asing, penguat kuasa Jabatan Imigresen yang menjaga kawalan udara, laut dan sempadan darat,” katanya.

Isu rasuah pekerja asing dapat dilihat apabila baru-baru ini terdapat beberapa pegawai peringkat negeri dan dari ibu pejabat Jabatan Imigresen ditahan dan disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang mengambil tindakan pantas terhadap pegawai yang didakwa tiada integriti.

“Disebabkan betapa mudahnya ejen meraih keuntungan hasil daripada kemasukan pekerja Bangladesh, pihak Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia perlu bekerjasama menghalang kemasukan pekerja tersebut. Jika ia dihalang, gejala rasuah akan terhenti dan sindiket ejen tersebut akan hilang punca pendapatan,” katanya.

Peraturan baru atasi lambakan pekerja, rasuah

Che Hassan juga beranggapan, satu peraturan baru perlu diperkenalkan bagi memastikan lambakan pekerja Bangladesh serta gejala rasuah dapat dikekang dengan lebih berkesan, malah kebajikan pekerja asing turut terbela.

“Apabila majikan wajib keluarkan modal sendiri untuk membayar perbelanjaan pekerja asing yang dibawa masuk oleh ejen, pihak majikan akan berasa lebih bertanggungjawab kerana perlu menyediakan dana yang besar.

“Jadi kalau dahulu mereka boleh disogok untuk mengambil pekerja asing tetapi dengan peraturan baru, perbelanjaan majikan akan menjadi lebih mahal setiap kali mengambil pekerja asing kerana pihak majikan perlu membayar segala proses yang akan dikenakan oleh pihak ejen negara pembekal,” katanya.

Jumlah pekerja asing yang bekerja secara sah di negara ini dianggarkan seramai 1.73 juta orang dari pelbagai negara seperti Indonesia, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Pakistan dan China.

Jabatan Perangkaan pula menganggarkan jumlah warga asing yang tinggal secara sah di negara ini adalah sekitar 3.3 juta orang, namun jumlah sebenar warga asing ketika ini sukar untuk ditentukan berikutan tiada statistik jelas.