Semakin hari, jadual kita semakin sibuk sehinggakan tiada masa untuk diri sendiri.

Ramai yang berpendapat duduk di atas sofa sambil memeriksa telefon atau laman sosial, menonton televisyen, ke salun kecantikan untuk mendandan rambut antara masa untuk diri sendiri.

Ia mungkin benar beberapa tahun dahulu, bukan lagi sekarang. Ini kerana pelbagai gangguan seperti gelombang radiasi dan gangguan luaran yang lain yang boleh memberi kesan kepada kesihatan mental. Selain itu, apa yang dimaksudkan dengan masa untuk diri sendiri ialah, berehat dan analisis diri untuk kebaikan tanpa terlibat dalam sebarang perkara atau tugas.

Asal duduk senang, kita mesti melayan telefon pintar atau memikirkan sesuatu, lazimnya yang merungsingkan.

Tidak kita siapa sekalipun diri ini, boss, pekerja, suami, isteri, ibu, bapa, anak, semua orang memerlukan masa untuk diri sendiri yang menggembirakan bukan membebankan.

Jadikan waktu untuk diri atau lebih popular dengan gelaran “Me Time” sesuatu yang harus dan dilakukan secara berkala.

Bagaimana untuk melakukannya?

Mudah sahaja, tutup pintu pejabat atau bilik tidur selama 30 minit, tinggalkan telefon anda di luar atau tutup seketika, jangan ‘libatkan’ diri dalam apa-apa tugas, duduk tenang seketika, 30 minit misalnya.

Masa tenang tanpa sebarang gangguan dan keperluan mempunyai banyak manfaat kepada diri.

“Me time” seketika dapat memberi anda tumpuan yang lebih kepada situasi penting yang dihadapi, fikiran menjadi lebih jelas dan lebih kreatif. Anda juga boleh menggunakan masa itu untuk bertindak balas terhadap matlamat yang telah ditetapkan untuk diri sendiri dan mungkin mengubahnya.

Mencari “me time” mungkin berbunyi sukar atau satu cabaran besar. Apa kata anda cuba cara ini:

– Bangun 15 minit lebih awal dari orang lain di rumah dan duduk tenang sebelum memulakan hari itu. Jangan hidupkan gajet atau peralatan elektronik seperti radio.

– Cuaca yang menyenangkan adalah masa yang terbaik untuk melakukan “me time”. Keluar di bawah cahaya matahari pagi dan berjalan-jalan mengelilingi blok atau taman bunga di halaman anda.

– Pada waktu malam, masuk bilik tidur lebih awal dan bawa menyendiri sebentar. Apa yang boleh dilakukan ialah bermeditasi, melakukan senaman pernafasan atau duduk di sisi tingkap dan perhatikan bintang dan bulan.

– Berjalan-jalan di taman tanpa berbicara dengan sesiapa. Lihat pokok, bunga, tumbuhan, serangga dan awasi bunyi-bunyian di sekitar.

– Jangan sesekali menghantar mesej kepada kawan atau menyemak e-mel atau memeriksa tugasan pejabat. Hanya fokus kepada diri sendiri.

Mudah bukan? Mulakan “me time” hari ini dan saksikan perbezaan pada diri anda!

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]