Orang Cameron Highlands jangan termakan janji PH, gesa Hadi

Hadi berucap di hadapan lebih 1,000 hadirin pada ceramah perdana di Sungai Koyan, malam tadi. (Gambar Facebook)

CAMERON HIGHLANDS: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membidas Pakatan Harapan (PH) kerana didakwa masih tidak malu menabur janji untuk memancing undi walaupun gagal menunaikan janji pilihan raya umum (PRU) 9 Mei lalu.

“Kita saksikan bagaimana parti (PH) ini yang hebat berjanji masa pilihan raya. Kalau menang jadi kerajaan, esok harga minyak turun, menang jadi kerajaan tol dihapuskan dan lepas menang nak buat itu dan ini.

“PH janji lagi, kalau menang di Cameron Highlands nak buat pembangunan. Apakah orang Cameron Highlands merangkak dalam ‘reba’ (semak), tidak ada (pembangunan), tidak ada jalan, tidak ada elektrik?

“Ini ada elektrik. Kita ceramah ini (pun) pembangunan sudah ada. Walaupun PAS berbalah dengan Umno, kita tahu (pembangunan) ini Umno buat. Itu kita iktiraf.

“Mereka jadi kerajaan mereka buat, kita jadi kerajaan di Kelantan kita buat juga. Bukan makna orang Kelantan merangkak dalam ‘reba’,” katanya.

Hadi berkata, keputusan PRU lepas menyaksikan umat Islam yang menjadi majoriti di negara ini “diperintah” oleh orang bukan Islam.

“Kita menyaksikan PRU14 pukulan dahsyat kepada umat Islam di Malaysia. Tidak semena-mena umat Islam majoriti ini yang menjadi tulang belakang politik Malaysia memilih kerajaan didominasi bukan Islam. Sangat malang bagi mereka (kerana) pihak yang memerintah sekarang majoriti bukan Islam.

“Walaupun perdana menteri melakukan ubah suai memperbanyakkan umat Islam dalam Kabinet, kuasa politik yang memerintah di tangan bukan Islam,” katanya.

Hadi mendakwa selepas keputusan PRU14, DAP “naik toncang” apabila memenangi lebih kerusi daripada sebelum itu.

“Mereka naik toncang menguasai Pulau Pinang, mencorotkan MCA dan Gerakan, menunjukkan keangkuhan dan kesombongan, mengeluarkan suara yang lantang mencabar Islam, mencabar orang Melayu, campur tangan dalam urusan pentabiran negara, dalam dasar negara, dalam perkara perlembagaan.” katanya.

Hadi menasihatkan penyokong PAS dan Umno berhenti berbalah sesama sendiri dan memberi tumpuan kepada usaha mempertahankan Islam.

Katanya, perpecahan dan perbalahan antara umat Islam menyebabkan negara hancur dan dikuasai bukan Islam seperti yang pernah berlaku kepada kerajaan Islam di Sepanyol.

“PRK (pilihan raya kecil) ini sangat mencabar umat Islam, PAS melihat wajib umat Islam bersatu dan hentikan pertelingkahan. Kita mesti hadapi perkara dasar dan penting.

“Islam pernah berkuasa di Sepanyol selama 800 tahun, lebih lama daripada Tanah Melayu membina tamadun, tetapi kerana orang Islam berpecah, pemerintahan Islam di Sepanyol hancur,” katanya ketika berceramah sepentas dengan pemimpin Umno di Felda Sungai Koyan, di sini, malam tadi.

Menurut Hadi, Islam mengajar umatnya memilih pemimpin yang tahu erti dosa dan pahala supaya mereka ikhlas dan berlaku adil kepada semua, sama ada Islam atau pun bukan Islam.

“Islam mengajar pemimpin mengenai dosa dan pahala. Perkara dosa dan pahala ini tiada dalam DAP,” katanya.

Orang Melayu dan Orang Asli, katanya, wajib memilih wakil rakyat yang membawa suara Islam.

“Orang bukan Islam juga tidak perlu takut. Kita sudah merdeka lebih setengah abad. Kita lihat bagaimana layanan dan hak diberi kepada bukan Islam yang tidak diberi oleh negara lain,

“Di Indonesia tidak ada sekolah Cina, sekolah Tamil. Di Singapura dan Thailand pun tidak ada, tapi di sini kita berikan hak. Bukan kita pandai-pandai, tapi memberi hak kepada bangsa lain itu Islam yang suruh,” katanya.

Beliau mengambil Kelantan dan Terengganu sebagai contoh walaupun diperintah orang Islam, hak untuk kaum lain tidak pernah dinafikan dan tidak ada isu berbangkit mengenai perkara tersebut.

Lebih 1,000 orang, termasuk Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man, turut hadir.