Polis: Rampasan dadah naik 231%, lebih 53,000 ditahan tahun lalu

Fuzi Harun berharap kejayaan pada 2018 akan menjadi kayu ukur dalam usaha pasukan itu meningkatkan momentumnya tahun ini. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Nilai rampasan dadah di seluruh negara meningkat 231% tahun lalu daripada RM70.4 juta pada 2017, kata Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Ketua polis negara berkata, seramai 53,380 suspek turut ditahan atas kesalahan berkaitan dadah pada 2018, meningkat 4,798 orang berbanding tahun sebelumnya.

Antara rampasan besar termasuk syabu dan pil ekstasi bernilai RM25 juta dengan 4 lelaki ditahan di Pulau Pinang Ogos lalu, dadah berjumlah RM72.49 juta membabitkan 3 ditahan di negeri sama September lalu dan syabu berjumlah RM33.83 juta dirampas bersama tangkapan 4 lelaki di Perak bulan lalu.

“Saya harap kejayaan ini menjadi kayu ukur kami dalam usaha meningkatkan momentum tahun ini,” katanya berucap dalam mesyuarat bersama ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Fuzi memberi amaran kepada anggotanya supaya tidak terlibat dengan dadah kerana ia antara punca rakyat mempunyai persepsi negatif terhadap pasukan keselamatan itu.

Katanya, jumlah anggota polis ditangkap kerana terlibat dalam kes berkaitan dadah meningkat dari 2013 hingga 2017, sebelum angka itu berkurangan daripada 451 orang kepada 415 orang tahun lalu.

“Saya memuji tindakan bahagian narkotik menjalankan ujian air kencing ke atas anggota dari semasa ke semasa. Saya percaya dengan ujian ini, kita boleh menanam rasa takut dan mengurangkan penglibatan anggota dalam kegiatan berkaitan dadah.”

Sementara itu, Fuzi berkata, polis menerima lebih 10 laporan tidak bersifat jenayah daripada pelbagai parti berhubung pilihan raya kecil Cameron Highlands.

“Kita ada 1,300 anggota bertugas untuk menjaga keselamatan pada pilihan raya kecil ini,” katanya.

Mengenai nasib wanita dan kanak-kanak Malaysia yang terperangkap di Syria serta Iraq selepas mengikut suami mereka di sana, Fuzi berkata, polis menerima beberapa permohonan daripada keluarga untuk membantu membawa mereka kembali ke tanah air.

Bagaimanapun, katanya, respons daripada mangsa di 2 negara tersebut tidak jelas.

“Proses membawa mereka balik sedang berjalan. Tapi, untuk lakukan demikian, kita perlu pertolongan rakan-rakan kita, terutama pihak berkuasa Turki, memandangkan negara itulah pintu masuk mereka ke negara-negara lain.

“Setakat ini, Turki bekerjasama dengan kita, tetapi kita hadapi masalah mengesan lokasi individu-individu ini. Tapi, kalau mereka serius mahu kembali, mereka mesti hubungi keluarga masing-masing atau kita terus. Kita akan usahakan apa yang mampu.”