Roti Titab merupakan roti Hailam bakar yang disapu, di tengah-tengahnya telur separuh masak dan seri kaya, menjadi kegeraman orang ramai ke Kopitiam Kita yang terletak di Taman Desa Jaya, Jalan Pengkalan Chepa. (Gambar Bernama)

Tatkala melangkah masuk ke Kopitiam Kita, betapa bangganya penulis dengan setiap yang dipandang dan didengar.

Bangga melihat keharmonian para pelanggan yang pelbagai kaum, ada yang berkeluarga, ada pula bersama rakan-rakan, masing-masing menikmati hidangan kegemaran sambil ceria berborak.

Kopitiam Kita sentiasa ramai pelanggan, sama ada saling mengenali atau tidak, sama kaum dan agama atau sebaliknya, masing-masing tidak kisah untuk duduk semeja.

Agak riuh namun bila diamat-amati bukan sahaja loghat Kelantan yang kedengaran malah pelbagai loghat dan bahasa – Melayu, Cina, Tamil, Siam juga Inggeris.

Sejak dibuka kira-kira 14 tahun lalu, kopitiam yang terletak di Taman Desa Jaya, Jalan Pengkalan Chepa, kira-kira 2 km dari pusat bandar, bukan sahaja kedai makan kegemaran ramai dan tempat pertemuan warga Kota Bharu, malah merupakan destinasi pilihan para pelancong tempatan dan luar negara ke negeri ini.

Cukup dengan melihat plat-plat kenderaan yang pelbagai di perkarangan kopitiam itu, nyata sejumlah besar pelanggannya dari luar Kelantan. Malah, ada kalanya terdapat banyak bas rombongan di tempat letak kereta itu, terutamanya musim cuti sekolah.

Keluarga berbilang kaum

Pemiliknya, N.H. Wong, 62, berkata nama Kopitiam Kita dipilih kerana ia merupakan satu nama yang ringkas dan mudah bagi menyampaikan maksud ‘Kita’ yang tersirat iaitu untuk semua kelompok masyarakat tanpa mengira bangsa – Melayu, Cina, India, Siam dan sebagainya – bertandang sebagai sebuah keluarga besar untuk menikmati hidangan kegemaran di kedai kopinya itu.

Pemilik Kopitiam Kita, N.H. Wong, 62, menunjukkan Roti Titab yang menjadi kegemaran pelanggan di kopitiam miliknya yang terletak di Taman Desa Jaya, Jalan Pengkalan Chepa. (Gambar Bernama)

Kopitiam yang dibuka pada 2005 itu, pada mulanya menjual roti canai, roti bakar serta nasi berlauk dan nasi tumpang yang diambil daripada pembekal di sekitar Kota Bharu. Wong, ketika itu dibantu oleh 5 pekerja bagi mengurus kedai yang mempunyai hanya 20 meja makan.

Namun sejak diperkenalkan Roti Titab kira-kira 4 tahun kemudian, keadaan menjadi semakin sibuk dan kedai itu bagaikan semakin kecil. Kini 25 pekerjanya tidak menang tangan melayani para pelanggan yang silih berganti memenuhi 90 meja yang tersedia.

Jika ke Kopitiam Kita, tinjau sahajalah di atas meja, pastinya Roti Titab – roti Hailam bakar yang disapu, di tengah-tengahnya telur separuh masak dan tompokan seri kaya di empat penjurunya – serta kopi atau kopi O Hailam pekat menjadi hidangan pilihan para pelanggan di situ.

“Idea untuk menghidangkan Roti Titab tercetus setelah menikmati sarapan ketika saya ke Guangzhou, China pada 2009. Jadi saya perkenalkan Roti Titab tetapi diolah sedikit untuk menepati cita rasa tempatan dan dihidangkan dengan seri kaya resipi kami sendiri,” jelas beliau kepada Bernama.

Pelbagai hidangan tempatan

Menjelaskan lanjut, Wong berkata ‘titab’ tidak mempunyai sebarang makna khusus tetapi merupakan satu jenama yang dipilihnya kerana perkataan ‘titab’ dirasakan mudah disebut dan diingati.

Beliau memberitahu sebanyak 300 set Roti Titab mampu disediakan pada satu masa terutamanya pada hujung minggu.

Selain Roti Titab, pelanggan juga boleh menikmati pelbagai makanan tempatan seperti nasi air dingin, nasi dagang, nasi lemak, nasi kerabu, nasi berlauk, nasi ayam pencen, pulut pagi dan kuih-muih.

“Kami memberi peluang kepada pengusaha makanan di sekitar bandar raya ini untuk berniaga dengan meletakkan produk mereka di sini.

“Kini terdapat 20 orang pembekal yang menghantar bermacam-macam jenis makanan ke sini. Makanan itu diletakkan di bahagian layan diri,” kataya yang fasih berbahasa Melayu dengan loghat Kelantan.

Sejak 2 tahun lepas Wong memperkenalkan perkhidmatan penghantaran ke sekitar Kota Bharu.

“Pelanggan boleh menempah apa saja makanan yang ada di kedai kami sekiranya tidak berpeluang datang ke sini,” katanya sambil menambah caj penghantaran yang dikenakan hanya RM5.

Selesa menjamu selera

Seorang pelanggan yang ditemui adalah Irene Yap Hui Sun, 36, dari Kuala Lumpur memberitahu itu kali pertama mengunjungi Kopitiam Kita, berdasarkan cadangan rakannya.

Pemilik Kopitiam Kita, N.H. Wong, 62, (tengah) melayan sebahagian pelanggan yang menikmati Roti Titab di kopitiam miliknya yang terletak di Taman Desa Jaya, Jalan Pengkalan Chepa. (Gambar Bernama)

“Saya teruja sangat. Rasa bagaikan berada bersama-sama keluarga sendiri dikelilingi keriuhan perbualan serta hilai tawa walalupun tidak mengenali pengunjung lain pelbagai kaum di sini.

“Jika di bandar besar seperti Kuala Lumpur, susah untuk mendapat suasana seperti ini, pelbagai kaum menjamu selera di bawah satu bumbung dalam suasana mesra begini,” katanya ketika ditemui Bernama di kopitiam itu.

Irene berpendapat Kopitiam Kita ibarat ‘pusat bagi hidangan tempatan’ justeru menjadi tumpuan segenap lapisan masyarakat.

Sementara itu, Nik Nashriq Nazman, 31, yang boleh dikatakan bersarapan di kopitiam itu hampir setiap hari pula berkata, “Suasana kopitiam yang terbuka membuatkan pelanggan selesa menjamu selera, selain banyak pilihan makanan.

“Bila ramai orang di kopitiam, jika tiada meja yang kosong, pelanggan yang datang ke sini tidak kisah berkongsi duduk semeja dengan orang yang tak dikenali, yang penting semua berpeluang menikmati sarapan di tempat kegemaran ramai ni,” katanya.

Kopitiam Kita mendapat penghargaan khas Pematuhan GST Tahun 2007 oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Anugerah Kedai Harga Patut pada 2014 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) kini Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia.

Malah Roti Titab juga dipatenkan melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia pada 2016.

Selain hidangan enak, sesuatu yang paling menarik perhatian ramai adalah gambar kenangan para pelanggan termasuk golongan kenamaan dan selebriti yang dipamerkan pada dinding kopitiam itu untuk tatapan pengunjung.

Walaupun popular sebagai tempat bersarapan, Kopitiam Kita juga dibuka pada waktu malam. Waktu operasinya adalah setiap hari dari 6.30 pagi hingga 2 petang, kecuali Jumaat hingga 12.30 tengah hari manakala untuk sesi malam pula dibuka dari 7 malam hingga 12 tengah malam pada hari Ahad hingga Khamis.