Walaupun baru 3 minggu memasuki sesi persekolahan baru tetapi anak-anak yang bersekolah rendah khususnya dilihat ‘sibuk’ dengan jadual harian.

Hari bermula dengan sekolah pada sebelah pagi, sekolah agama pada petang dan tuisyen pada waktu malam.

Itu belum lagi dengan kelas-kelas ‘tambahan’ lain yang menjadi aktiviti sampingan anak-anak.

Namun persoalannya di sini, adakah kelas-kelas tersebut perlu ataupun membebankan anak?

Angkasawan Pertama Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheik Mustapha yang juga bapa kepada 2 cahaya mata, akui anak-anak perlu didedahkan pelbagai aktiviti memandangkan tiada istilah ‘beban’ kepada anak-anak dalam usia berkenaan.

“Anak-anak seawal usia 6 tahun berada dalam fasa ‘Golden Age’ dan perkembangan otak sangat produktif dan berpotensi tinggi untuk menelaah ilmu,”ujarnya.

Mengulas lanjut, Dr.Muszaphar berkata, anak-anak yang bersekolah khususnya peringkat sekolah rendah sangat mudah ‘menerokai’ apa sahaja memandangkan otak mereka masih segar dan mudah menerima.

“Jangan biarkan anak merugikan masa walaupun seminit tetapi isikan dengan aktiviti berfaedah memandangkan fasa ini terlalau ‘berharga’,” katanya ketika dihubungi FMT Ohsem.

Sambil berkongsi pengalaman sendiri dengan perkembangan anak perempuannya, kedua-duanya didedahkan dengan alam persekolahan sejak berusia 3 tahun lagi.

Malah pelbagai aktiviti disusun bagi mengisi ‘kekosongan’ itu termasuk seni mempertahankan diri.

Jadual harian kedua-dua anaknya, Sophea Isabella dan Sophea Natasha padat dengan aktiviti selain pembelajaran rasmi di sekolah aliran Cina.

Terbaru, beliau sanggup ‘terbang’ ke Chungju, Korea Selatan bagi membawa anaknya menyertai pertandingan Taekwando.

Itu perkongsian Dr.Muszaphar mengenai pendedahan aktiviti tambahan kepada anaknya.

Bagi seorang lagi ibu yang ditemui FMT Ohsem, Noor Bashirah Mohd. Noor menunjukkan kesanggupan mengeluarkan sejumlah wang yang besar untuk menghantar 2 anaknya ke kelas ‘tambahan’ sebagai mengisi masa lapang.

Dia yang memperuntukkan lebih RM700 sebulan untuk kelas-kelas yang hanya memberi fokus ke arah aktiviti menyihatkan selain tuisyen yang berunsur pendidikan.

“Lebih baik saya dedahkan mereka dengan aktiviti lain yang boleh menguntungkan selain ‘bekalan’ untuk masa depan,” ujarnya yang bertugas sebagai tutor di sebuah pusat pengajian di Johor Bharu.

Dua anaknya, Mohd Haziq Hisham dan Nur Amalin Hisham yang masing-masing berusia 9 dan 7 tahun menyertai 5 ‘kelas’ seminggu termasuklah menunggang kuda, kelas piano, violin, taekwando dan memanah.

Katanya, dia menghantar anaknya ke kelas berkenaan sebagai ‘memuaskan’ dirinya yang tidak berpeluang menghadiri kelas berkenaan pada zaman kecil berikutan keluarga yang tidak mampu.

“Kini apabila saya memiliki anak sendiri dan mahu anak-anak didedahkan dengan aktiviti yang sihat sejak awal lagi,” katanya.

Ekoran itu, Noor bashirah berkata jadual anaknya agak padat selepas sesi persekolahan.

Malah ibu muda berusia 38 tahun itu berkata, hari minggu pula dikhususkan untuk kelas-kelas lain selain berunsur pendidikan.

Anaknya hanya memiliki masa sejam dalam seminggu untuk menonton televisyen atau menghadap Internet.

“Biasanya selepas balik sekolah, anak -anak akan ke sekolah agama manakala malam pula menghadir kelas tuisyen secara peribadi di rumahnya,”ujarnya.