Antara ‘troll’ dan kebenaran di media sosial

Kehidupan kita hari ini tidak dapat lari daripada pengaruh media sosial. Tidak sah hidup sehari tanpa media sosial. Ada yang terus mendapatkan telefon pintar ketika pertama kali bangun dari tidur pada waktu pagi semata-mata untuk melihat apa perkembangan terbaru.

Melalui media sosial, kita berhubung dengan teman, saudara-mara malah mereka yang tidak dikenali sebelum ini. Kita berkongsi kehidupan seharian, berita, maklumat dan lain-lain dalam bentuk teks, gambar atau pun video. Selain itu, media sosial juga menjadi medan untuk berhibur dan mengisi masa lapang.

Ada yang berlumba-lumba untuk menjadi orang yang pertama berkongsi maklumat atau berita terkini. Namun, dengan lambakan maklumat yang diperolehi melalui media sosial, tidak semuanya mengandungi maklumat yang benar. Malah tidak kurang yang menggunakan media sosial untuk menyebarkan maklumat palsu yang boleh membawa kepada pertelingkahan dan permusuhan.

Ada pula yang menggunakan “troll” untuk menyiarkan mesej dengan nada sindiran terhadap individu atau kumpulan. Suasana menjadi hangat apabila “troll” tersebut mendapat sambutan pengguna di laman sosial, terutama melalui komen yang diberikan.

Mufti Wilayah Persekutuan baru-baru ini mengeluarkan hukum “troll” di media sosial. Menurut beliau, hukum asal menggunakan media sosial adalah harus jika tujuan dan kaedah penggunaannya tidak melanggar mana-mana hukum syarak. Sebaliknya, jika ia digunakan dengan tujuan dan kaedah yang bertentangan dengan hukum syarak seperti menjadikannya sebagai alat menyebarkan pendustaan, permusuhan dan perbalahan, maka hukumnya haram.

“Troll” yang mempunyai unsur menghina, memperlekeh, menyindir, mengejek, menghasut, menyebarkan pendustaan, membangkitkan permusuhan, menyemai kebencian dan menjatuhkan maruah individu adalah perbuatan yang membawa ciri-ciri menyalahi syarak yang dilarang dan boleh membawa kepada dosa.

Sehubungan itu, marilah kita menjadi pengguna media sosial yang bertanggungjawab dengan memeriksa maklumat yang kita perolehi sebelum menyebarkan atau membuat sesuatu kesimpulan. Umpamanya, kita boleh memeriksa kesahihah sesuatu maklumat dengan merujuk kepada sumber berita yang boleh dipercayai, seperti kenyataan rasmi, portal rasmi dan lain-lain.

Pengguna media sosial mestilah bertanggungjawab dengan tindak-tanduknya di media sosial. Langkah-langkah mestilah diambil untuk mengelak dari menimbulkan pertelingkahan atau perselisihan. Ada maklumat yang benar namun tidak semua maklumat yang diterima boleh dipercayai.

Pastikan maklumat yang ingin disebarkan diperiksa terlebih dahulu kesahihannya. Adalah lebih baik untuk kita tidak berkongsi atau memberi komen pada perkara yang tidak pasti kesahihannya. Apa yang perlu diberi perhatian ialah agar kita berhati-hati di dalam menyebar maklumat yang diterima dari media sosial dan tidak menjadi batu api yang mengeruhkan lagi keadaan.

Begitu juga, janganlah kita menjadikan perbezaan pandangan tentang sesuatu perkara sebagai sebab untuk menimbulkan permusuhan sesama insan, apatah lagi di kalangan sesama umat Islam.

Dalam banyak keadaan, berdiam diri dari memberi komen pada sesuatu “troll” itu adalah tindakan yang lebih baik.

Perkongsian dari “cybertrooper” atau pemilik akaun media sosial yang tidak diketahui identiti sebenar janganlah dilayan. Tidak salah untuk mengejar populariti, memperoleh mesej yang viral dan jumlah “likes” yang tinggi, namun janganlah sampai kita terjebak dalam perkara yang boleh membawa kepada dosa.
Ingatlah bagi setiap Muslim, setiap amalannya akan dikira oleh Allah sebagai amalan yang baik atau amalan yang buruk yang akan dihitung pada hari akhirat nanti.

* Mohammad Abdul Hamid ialah pembaca FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.