Saya tengok gambar Razak Baginda, Najib dan Altantuya bersama, kata sepupu

Burmaa Oyunchimeg (kanan) di bilik saksi selepas memberi kenyataan di mahkamah hari ini.

SHAH ALAM: Sepupu Altantuya Shaariibuu hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi dia melihat gambar wanita Mongoia yang mati dibunuh 12 tahun lalu itu dengan Abdul Razak Baginda dan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak di Paris.

“Saya ingat melihat gambar 3 orang, 2 lelaki dan Altantuya. Saya tanya dia siapa lelaki itu dan dia kata seorang timbalan perdana menteri dan seorang lagi, Razak, yang bekerja dengannya (Najib) dan mereka buat perniagaan bersama,” kata Burmaa Oyunchimeg, ketika ditanya peguam Sangeet Kaur Deo dalam perbicaraan kes saman oleh keluarga Altantuya.

Gambar menunjukkan Altantuya, Razak dan Najib tidak dapat disiarkan kerana ia masih dipertikaikan.

Altantuya dibunuh pada 2006 dalam hutan di Puncak Alam, dekat Shah Alam, Selangor, dengan ditembak di kepala sebelum badannya diletupkan.

Dua orang polis, Sirul Azhar Umar and Azilah Hadri, kedua-dua mereka pengawal Najib, didapati bersalah dan dikenakan hukuman mati.

Razak, pembantu Najib, ketika menjadi timbalan perdana menteri, didakwa bersubahat dengan kedua mereka, tetapi kemudian dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.

Bapa Altantuya, Dr Shaariibuu Setev, isterinya Altantsetseg Sanjaa, and anak Altantuya, Mungunshagai menamakan Razak, Azilah dan Sirul dalam kes tersebut.

Keluarga Altantuya mendakwa terdapat konspirasi dalam pembunuhan wanita Mongolia tersebut dan menuntut RM100 juta kerugian, termasuk tuntutan tanggungan.

Burmaa, kini seorang eksekutif jualan di Amerika Syarikat, juga memberitahu mahkamah, Razak dan Najib kawan karib.

Dia memberitahu, walaupun mempunyai nama serupa, Razak dan Najib bukan adik-beradik, tetapi sahabat baik, rakan niaga dan kerja bersama.

Burmaa, saksi pertama plaintif berkata, dia pernah jumpa Razak bersama Altantuya 3 kali antara Disember 2004 dan Mac 2005.

Katanya, dia bertemu Razak pertama kali pada November atau Disember 2004 di sebuah hotel di Hong Kong.

“Masa itu, saya tinggal di Hong Kong dan dia (Altantuya) datang dari Mongolia untuk melawat saya,” katanya.

Menurutnya, Altantuya memberitahunya Razak adalah kawannya, tetapi mengaku kemudian dia mempunyai hubungan.

Kata Burmaa, Altantuya juga memberitahunya kedatangannya ke Hong Kong atas urusan perniagaan.

Kali kedua dia bertemu Razak, katanya, adalah di Shanghai, China, pada Januari 2005 di mana dia dan Altantuya datang dari Hong Kong dan bertemu Razak di lapangan terbang.

“Dia (Razak) bayar tambang tiketnya (Altantuya) dan saya. Dia bayar semua dalam lawatan itu, untuk tempat penginapan, makan minum dan membeli-belah.

“Mereka tinggal bersama dan saya tinggal di bilik lain. Lawatan itu singkat, 2 malam sahaja,” katanya.

Burmaa memberitahu mahkamah, perjumpaan kali ketiga adalah pada Mac 2005 di Singapura di mana Altantuya dan Razak tiba lebih awal daripadanya.

“Ini adalah selepas lawatan ke Eropah, Mereka memberitahu saya mereka gembira dengan lawatan ke Paris,” katanya.

Menurut Burmaa, lawatan ke Singapura hanya untuk 2 atau 3 malam dan Razak bayar semua perbelanjaan.

Kali terakhir dia berjumpa Razak, katanya, adalah ketika perbicaraan pembunuhan Altantuya pada 2008.

“Dia (Razak) pernah menghubungi saya di Hong Kong apabila dia tidak dapat hubungi Altantuya di Mongolia. Katanya, dia sangat ambil berat tentangnya (Altantuya) dan tahu mengenai anaknya yang kurang upaya serta benar-benar mahu menolongnya dari segi kewangan,” katanya.

Burmaa memberitahu, dia jumpa Altantuya kali terakhir di Hong Kong pada Ogos 2006 sebelum wanita itu terbang ke Malaysia untuk berjumpa Razak bagi mendapatkan wang untuk kerja yang dia lakukan.

“Katanya, Razak enggan membayar Altantuya. Sebab itu dia pergi untuk mendapatkan bayaran tersebut,” katanya, sambil menambah, Razak juga enggan menemui Altantuya masa itu.

Burmaa berkata, dia kemudian menghantar beberapa mesej melalui telefon, memberitahu Razak supaya selesaikan masalahnya tetapi Razak tidak menjawab.

Mahkamah Persekutuan pada 2015 mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi terhadap Sirul dan Azilah kerana membunuh Altantuya.

Sirul lari ke Australia sebelum keputusan akhir mahkamah, sementara Azilah menanti hukuman mati di Penjara Sungai Buloh.

Motif pembunuhan Altantuya tidak didedahkan dalam perbicaraan.

Peguam Manjeet Singh Dhillon, yang mewakili Razak, akan melakukan pemeriksaan balas esok di depan Hakim Vazeer Alam Mydin Meera.