Penutupan kerajaan AS lemahkan agensi penyiasatan, kata persatuan ejen FBI

WASHINGTON: Penutupan sebahagian kerajaan Amerika Syarikat (AS) menghalang operasi penguatkuasaan undang-undang persekutuan, melemahkan keupayaan penyiasat untuk membayar pemberi maklumat dan saksi serta menjejaskan keselamatan negara, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan Persatuan Ejen-Ejen Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).

Jabatan Kehakiman, yang mengawasi FBI, adalah antara 9 jabatan peringkat Kabinet AS yang terjejas akibat penutupan itu, yang kini masuk hari ke-33 tanpa sebarang kemungkinan penyelesaian.

Dalam satu laporan yang dikeluarkan pada Selasa, persatuan itu menyifatkan penutupan tersebut memberi kesan terhadap pekerjaan ejen FBI, dengan memaparkan reaksi dalam pelbagai akaun media sosial tanpa nama ejen FBI dan kakitangan lain yang berkaitan.

Persatuan berkenaan mengeluarkan laporan tersebut bagi memastikan bahawa Kongres, pentadbiran serta orang awam menyedari “cabaran sebenar dan harian” yang terpaksa dihadapi ejen FBI, selain “risiko yang ditimbulkan terhadap keselamatan negara akibat penutupan kerajaan yang berpanjangan,” menurut laporan itu.

“Dengan penutupan kerajaan, kami tidak boleh menyediakan tempat yang selamat untuk bertemu dengan pemberi maklumat dan membayar mereka,” menurut satu akaun.

“Kesan dari segi operasi susulan penutupan ini adalah tidak terhingga … kami terpaksa menangguhkan pendakwaan terhadap suspek susulan penutupan ini,” menurut akaun lain.

Ejen khas FBI Thomas O’Connor, presiden persatuan itu berkata, “FBI perlu dibiayai sepenuhnya bagi membolehkan kami melakukan tugas kami seperti menghentikan serangan pengganas, mengekang aktiviti jenayah dan menangkap orang jahat.”

FBI dalam satu kenyataan menyebut bahawa laporan tersebut adalah produk “sebuah persatuan profesional yang bukan berasaskan keuntungan” dan tidak dikeluarkan oleh biro itu sendiri.