Pondok panas, berkempen dilarang pada hari mengundi, kata Bersih

(Gambar Bernama)

TANAH RATA: Badan pemantau pilihan raya Bersih 2.0 hari ini mengingatkan calon-calon dan parti-parti politik di pilihan raya kecil Cameron Highlands jangan mendirikan “pondok panas” di sekitar pusat mengundi Sabtu ini.

Ia juga menggesa mereka untuk tidak berkempen pada hari itu, terutama di media sosial.

“Fenomena pondok panas dan aktiviti-aktiviti meraihkan undi pada hari mengundi masih terjadi-jadi di dalam keempat-empat pilihanraya kecil yang lepas di Sungai Kandis, Seri Setia, Balakong dan Port Dickson. Ini perlu dihentikan,” katanya dalam kenyataan.

Bersih 2.0 berkata Seksyen 26 Akta Pilihan Raya melarang sebarang aktiviti kempen pada hari mengundi.

“Seksyen 26(1)(c) tidak membenarkan pembukaan pejabat atau pondok panas di dalam kawasan pilihan raya di mana seseorang calon bertanding untuk sebarang tujuan yang berkaitan dengan pilihan raya melainkan untuk kempen pilihanraya semasa jangka masa kempen pilihan raya sahaja,” katanya.

Hukuman untuk kesalahan itu adalah penjara tidak melebihi 1 tahun atau denda tidak melebihi RM5000 atau kedua-duanya.

Bersih 2.0 berkata hanya SPR dibenarkan mendirikan pondok pada hari mengundi, bagi tujuan membantu pengundi memastikan nombor giliran dalam daftar pemilih.

Ia juga memberi amaran cara menyembunyikan pondok panas atau aktiviti meraih undi dengan cara penjajaan yang menjual atau memberikan minuman dan makanan secara percuma adalah salah.

“Kami mengesa SPR dan pasukan penguatkuasa untuk menguatkuasakan undang-undang dengan ketat supaya satu budaya pilihan raya yang baru dapat dimulakan di dalam negara kita,” katanya.