Royalti: Kami tuntut hak Kelantan, Amar bidas aktivis alam sekitar

PETALING JAYA: Aktivis alam sekitar Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil sepatutnya mempersoalkan tindakan kerajaan pusat yang masih enggan membayar royalti minyak kepada Kelantan dan bukannya menghentam kerajaan negeri, kata Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Timbalan menteri besar berkata, Sabrina tidak wajar mempersoalkan tuntutan itu memandangkan ia termaktub dalam perjanjian yang ditandatangani oleh kedua-dua pihak.

Amar mendakwa Putrajaya “berhutang” RM14.9 bilion dengan kerajaan negeri.

“Dia sepatutnya beritahu kerajaan pusat tolong bayar royalti kepada Kelantan sebab itu hak kita yang dijamin oleh undang-undang.

“Kita tuntut hak kita bukan minta benda lain,” katanya kepada FMT.

Pertubuhan Perlindungan Khazanah Alam Malaysia (Peka) hari ini membidas kerajaan Kelantan selepas Amar dilapor berkata aktiviti pembalakan di negeri itu akan dihentikan jika royalti minyak diberi kepada negeri itu.

Tuntutan ini menyusuli tindakan Putrajaya memfailkan saman terhadap kerajaan Kelantan kerana atas pencerobohan tanah adat Orang Asli.

“Penebangan balak di Kelantan mengikut peraturan dan dibenarkan oleh Majlis Perhutanan Negara. Aktivis itu tidak tahu apa yang kita buat. Mana yang lebih penting? Jaga hutan dengan jaga kepentingan rakyat?

“Kalau kerajaan tidak boleh tebang hutan, apa hasil kerajaan dapat? Negeri lain pun tebang hutan,” katanya.