Samun, menyamar penguat kuasa imigresen: Lelaki dipenjara, disebat

Tertuduh melakukan samun dan penyamaran di sebuah pusat kecantikan di Taman Segar Cheras pada 23 Sept 2016.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini mengekalkan hukuman penjara 7 tahun dan 3 sebatan terhadap seorang lelaki atas kesalahan melakukan rompakan berkumpulan, 3 tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Rozana Ali Yusof juga mengekalkan hukuman penjara 16 bulan terhadap Zulfakar Omardin atas pertuduhan menyamar sebagai penguat kuasa Imigresen.

Rozana membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Zulfakar, 38, terhadap kedua-dua hukuman yang diputuskan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Rohatul Akmar Abdullah pada 20 Sept 2017 selepas mendapatinya bersalah atas pertuduhan itu.

Dalam penghakiman, Rozana berkata hakim Mahkamah Sesyen tidak terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta ketika menjatuhkan hukuman terhadap perayu.

“Oleh itu rayuan ditolak dan hukuman dikekalkan,” katanya sambil menegaskan hakim Mahkamah Sesyen jelas bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan itu.

Bagi pertuduhan pertama, Zulfakar didakwa melakukan rompak berkumpulan ke atas 7 pekerja wanita pusat kecantikan dengan mengambil 5 jenis telefon bimbit pelbagai jenama di sebuah pusat kecantikan De Touch Wellnes Beauty Centre, Taman Segar Cheras pada 6.30 petang, 23 Sept 2016.

Dia dituduh mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.

Bagi pertuduhan ke-2, dia didakwa menyamar sebagai penguat kuasa Imigresen di tempat dan masa yang sama, mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh boleh sampai 2 tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Zulfakar diwakili peguam Ahmad Ishrakh Saad dan Dony Abdullah, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Joseindra Abu Senin.