Sikap anggota baru antara punca polis pilih bersara awal

Antara Januari dan Oktober tahun lepas, lebih 5,000 pegawai dan anggota polis bersara.

PETALING JAYA: Sebahagian bekas pegawai dan anggota polis mendakwa mereka memilih untuk bersara awal kerana tidak senang dengan sikap segelintir anggota baru yang mahu kerja mudah.

Seorang pesara yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 56, berkata, beliau bersara awal kerana tidak tahan melayan sikap rekrut yang enggan mengembangkan potensi diri.

Katanya, golongan itu, baik lelaki atau perempuan, hanya mengikut ‘rentak’ semasa menuntut di pusat latihan.

“Mereka hanya tahu bagaimana hendak proses laporan dan mencatat diari harian, tidak lebih daripada itu,” katanya ketika dihubungi FMT.

Katanya, beliau berkhidmat dalam pasukan polis selama 36 tahun dan pada penghujung tempoh perkhidmatan, bertugas di sebuah ibu pejabat polis daerah di Johor.

Beliau nekad bersara awal, iaitu pada 2017, ketika usianya genap 54 tahun.

“Saya tak tahan, mereka mahu kerja senang sahaja. Masuk kerja pagi, terus pergi sarapan berjam-jam. Senior pula yang berjaga di pejabat untuk melayan panggilan kecemasan, sedangkan kami ada tugasan lain seperti menyiapkan laporan bulanan dan, buat tugasan luar.

“Bila diminta buat beberapa tugasan, mereka beri alasan tidak tahu kerana kononnya tidak belajar di pusat latihan. Kesudahannya, senior yang sudah berumur macam sayalah kena buat,” katanya.

Jelasnya, beliau dan seorang lagi rakan yang ketika itu berusia 57 tahun, pernah mengangkat sebiji tayar lori seberat lebih 100 kilogram (kg) kerana anggota baru yang masih muda dan kuat, gagal dikesan.

“Terdapat satu lori pasukan rosak, tayarnya bermasalah. Bila dibuka, kami berdua terpaksa mengangkat tayar yang berat itu sebelum menolaknya ke tepi garaj. Kami laung nama rekrut baru, tiada seorang yang muncul,” katanya.

Lebih menyedihkan, katanya, selepas seharian kenderaan itu digunakan untuk membawa pegawai ke lokasi jenayah dan majlis rasmi, ia tidak dijaga dengan baik.

“Kita ada rekod siapa guna kereta pasukan, Bila malam, kami akan periksa, dan dapati mereka matikan enjin kereta sesuka hati. Selalu sahaja tidak menutup penghawa dingin, radio dan pintu juga tidak rapat. Sebab itu, penggera sering berbunyi,” jelasnya.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, tahap peningkatan bilangan pegawai dan anggota polis bersara awal sangat membimbangkan.

Katanya, antara Januari dan Oktober tahun lalu, lebih 5,000 pegawai dan anggota bersara.

“Daripada jumlah itu, 2,446 memilih untuk bersara awal dan selebihnya bersara wajib,” katanya.

Seorang lagi pesara awal, Johari, 55, dari Melaka, juga bersara awal atas alasan yang sama dengan Ahmad.

Beliau mempunyai lesen pemandu lori dan bas serta berkhidmat 16 tahun di cawangan pengangkutan, sebelum bersara.

Katanya, anggota muda tidak pandai menguruskan aset pasukan. Mereka menggunakan kenderaan sesuka hati tanpa menghiraukan keadaan kenderaan.

“Kenderaan sendiri pandai pula jaga. Kenderaan pasukan, basuh pun tak mahu. Kami yang seniorlah basuh kenderaan sebelah malam, sebelum pulang ke rumah,” katanya ketika dihubungi FMT.

Johari berkata, beliau mempunyai perniagaan sendiri, tetapi sikap anggota baru menjadi faktor utama beliau memilih bersara awal.

Johari menceritakan bagaimana beliau dimarahi ketua kerana ketiadaan kenderaan untuk membawanya ke mesyuarat penting.

“Hari Isnin, pegawai banyak mesyuarat. Kereta semua keluar untuk bawa mereka ke majlis rasmi, tapi pernah 4 kali saya ‘ditipu’ anak buah. Katanya dia hantar pegawai. Lepas itu dia terus hilang dengan kenderaan hingga tengah hari.

“Bila dihubungi, telefon dimatikan. Sangat tidak sopan,” katanya.

Katanya, selepas 4 kali kejadian demikian berulang, beliau meminta bantuan rakannya dari unit trafik untuk mengekori kereta pasukan tersebut.

“Nak tahu ke mana anggota polis baru itu pergi? Dia balik ke kuarters dan letak kenderaan depan rumahnya,” kata Johari.

Katanya, selepas itu, anggota tersebut dikenakan amaran oleh ketua jabatan. Akibatnya, anggota itu tidak menegurnya hinggalah hari-hari terakhir beliau di tempat kerja.

Sementara itu, seorang bekas pegawai polis, yang enggan namanya disebut berkata, setengah pegawai baru bermasalah kerana tidak berupaya berfikir secara analitikal.

Beliau, yang bersara pada umur 57 tahun, 3 tahun lalu, berkhidmat sebagai ketua jabatan di sebuah ibu pejabat kontinjen di semenanjung.

Katanya, pegawai baru yang diletakkan di bawahnya tidak mampu mengesan masalah dalam setiap kes yang beliau serahkan.

“Setiap kali saya panggil jumpa, seorang pun tak boleh bentangkan masalah atau perkembangan terbaru bagi kes yang mereka kendalikan.

“Tidak tahu tidak mengapa. Kita faham, mereka baru. Tetapi ego, tak nak bertanya dengan pegawai senior,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Jelasnya, ramai lagi rakan yang menyandang jawatan sama dengannya di tempat lain mahu bersara awal, tetapi dinasihati oleh ketua supaya tidak berbuat demkian.

“Dalam Malaysia, jawatan macam saya pegang ni ada 14 sahaja, masing-masing mewakili sebuah negeri. Kalau dah semua nak bersara, kosonglah semua pejabat,” katanya.