Suhakam perkenal kaedah ‘berlakon dalam kelas’ tangani buli di sekolah

Suhakam memperkenalkan kaedah untuk mengajar kanak-kanak sekolah tentang hak asasi manusia sejak usia muda. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pelajar yang tidak dipandang guru dan diberi nama gelaran oleh rakan sekolah mungkin pada mulanya tidak jelas bagaimana cara untuk membantu mereka mempelajari tentang buli dan empati.

Tetapi terdapat kaedah untuk menanganinya, menurut Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Ia adalah satu bentuk permainan dengan tujuan yang serius. Seperti lakonan yang direka untuk membolehkan kanak-kanak merasai pengalaman bagaimana jika mereka dibuli.

Di dalam kelas dengan bimbingan guru, ia hanya lakonan. Tetapi di laman sekolah, ia boleh menjadi realiti trauma bagi kanak-kanak yang lemah.

Selepas sesi lakonan, pelajar membincangkan apa perasaan mereka, dan apa pengajaran yang mereka perolehi daripada aktiviti tersebut.

Senario lakonan lain berperanan menangani kesan diskriminasi budaya dan agama, ketidaksamaan gender dan perkauman. Laporan mengatakan ia kelihatan berkesan.

Aktiviti ini akan dilaksanakan di sekolah anak anda jika Suhakam memujuk Kementerian Pendidikan untuk memperkenalkan modul yang dikemas kini semasa pelajaran sivik di sekolah rendah dan menengah.

Salah seorang pesuruhjaya Suhakam, Lok Yim Pheng memberitahu FMT, modul yang dikemas kini itu memberi tumpuan kepada meningkatkan kesedaran pelajar terhadap sensitiviti dalam usaha untuk membendung masalah sosial yang semakin meningkat di sekolah.

Setiap modul menggunakan contoh kehidupan nyata untuk menggambarkan tingkah laku yang tidak sensitif seperti memanggil dengan nama gelaran, dan kemudian menanyakan pelajar bagaimana cara untuk bertindak dengan hormat dan empati dalam situasi sedemikian.

Lok, yang membantu merangka modul dengan Kementerian Pendidikan, berkata kaedah itu berasaskan aktiviti untuk melibatkan pelajar dan menjana minat tinggi.

Perbincangan dengan Kementerian Pendidikan mengenai modul yang dikemas kini itu bermula pada pertengahan 2018, dan Suhakam memuji kementerian kerana terlibat secara aktif dengan isu berkenaan, katanya. Diharapkan kementerian akan memberi kelulusan untuk melaksanakan kursus itu tidak lama lagi.

“Kami mahu mengajar kanak-kanak sekolah tentang hak asasi manusia sejak usia muda. Ini adalah salah satu cara untuk mewujudkan pemimpin masa depan dan komuniti yang menghormati satu sama lain,” katanya kepada FMT.

“Jika pelajar obes dipanggil nama gelaran, pelajar membincangkan mengapa ia salah, dan membangunkan pemahaman tentang kesan dan trauma emosi yang menyebabkan tingkah laku tersebut. Dalam jangka masa panjang ia sebenarnya boleh berbahaya seperti penderaan fizikal. ”

Kumpulan hak asasi manusia, Pusat Komas berkata dalam laporan 2016 bahawa diskriminasi kaum di Malaysia masih terus meningkat.

Persatuan ibu bapa dan guru di Malaysia sudah lama menyeru kerajaan untuk menangani masalah perkauman, buli, dan siber buli.

Sebagai tindak balas modul kursus asas eksperimen yang diperkenalkan kepada 222 sekolah pada 2017, maklum balas daripada guru adalah positif dan laporan menunjukkan selepas menggunakan modul itu, sekolah mengalami penurunan tahap buli dan masalah sosial yang lain.

Kini banyak institusi pendidikan lain ingin memperkenalkan kursus itu di sekolah mereka. Harapannya ialah ia akan diperluas ke semua sekolah di seluruh negara.

Melalui medium berlakon dalam bilik darjah dan teknik pembelajaran penemuan, ia hanya dapat meningkatkan lebih rasa empatetik rakyat Malaysia.