Kenapa tubuh tribunal selepas anggota SPR letak jawatan, soal peguam

Pengerusi SPR yang baru, Azhar Harun (tengah) dengan bekas pengerusi Othman Mahmood (dua dari kiri) dan angota lembaga SPR lain pada 28 Sept tahun lepas. Othman dan 5 yang lain meletakkan jawatan tidak lama selepas itu. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang peguam mempersoalkan keperluan menubuhkan tribunal bagi menyiasat dakwaan salah laku bekas anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedangkan semua mereka telah meletak jawatan.

R Kengadharan berkata, perlembagaan persekutuan membolehkan penubuhan tribunal hanya jika mereka yang didakwa – hakim, ketua audit atau anggota SPR – masih memegang jawatan masing-masing.

Beliau memberikan contoh bekas ketua hakim negara, Tun Mohamed Salleh Abas dan 5 hakim Mahkamah Agung yang digantung jawatan pada 1988 dan diminta hadir ke depan 2 tribunal berasingan berhubung dakwaan salah laku kehakiman.

“Apakah tribunal itu konsisten dengan semangat perlembagaan?” soal beliau, dengan menambah langkah itu merupakan pembaziran dana awam kerana prosidingnya terdedah kepada cabaran undang-undang.

Katanya, tribunal sedemikian tidak boleh menyiasat dan membuat syor kepada Agong sekiranya penubuhannya bercanggah dengan undang-undang.

“Individu terbabit mungkin mempunyai sebab untuk mengambil tindakan terhadap kerajaan, seperti perbuatan terus memalukan mereka walaupun setelah meletakkan jawatan,” katanya.

Ini susulan pengumuman Peguam Negara, Tommy Thomas semalam bahawa sebuah tribunal dianggotai 5 bekas hakim Mahkamah Persekutuan akan bersidang di mahkamah Klang Isnin depan “untuk membincangan isu berikutan mandat mereka yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong.”

Tommy berkata, dakwaan salah laku yang serius dibuat terhadap SPR berhubung “peranannya dalam persiapan dan perjalanan pilihan raya umum ke-14, sebelum dan pada hari pengundian.”

Tribunal berkenaan, yang akan dipengerusikan oleh bekas hakim Mahkamah Tinggi, Tan Sri Steven Shim, turut dianggotai oleh Datuk Zaleha Zahari, Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha dan Datuk Dr Prasad Sandosham Abraham.

Ia akan memeriksa tingkah laku bekas anggota SPR, iaitu Tan Sri Othman Mahmood, Datuk Md Yusop Mansur, Datuk Abdul Aziz Khalidin, Datuk Sulaiman Narawi, Datuk Leo Chong Cheong dan Datuk Balasingam Karupiah.

Bekas pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, yang meletakkan jawatan pada 1 Julai tahun lepas, tidak dikehendaki hadir ke tribunal berkenaan.

Pada 17 Oktober dilaporkan bahawa kerajaan mula menubuhkan tribunal berkenaan. Sehari selepas itu, 5 anggota SPR mengumumkan peletakan jawatan mereka, sementara anggota ke-6 meletak jawatan pada 27 Nov.

Peletakan jawatan mereka berkuat kuasa 1 Jan tahun ini.

Thomas dilaporkan berkata, tribunal berkenaan bebas untuk membuat keputusan berhubung semua perkara melibatkan anggota SPR dan membuat syor kepada YDP Agong walaupun mereka (anggota SPR) telah meletakkan jawatan.