Mana-mana acara besar pasti ada sisi baik dan kurang baik. Apabila melibatkan himpunan orang ramai, tak perlu cakaplah, salah satu cabarannya pastinya mengenai longgokkan sampah merata-rata.

Orang kita masih kurang kesedaran terhadap isu ini, namun kewujudan golongan prihatin yang tampil membuat ‘kerja pembaikkan’ terhadap kerosakkan sosio-fizikal harus dipuji.

Begitu juga dengan upacara Thaipusam di Kuil Sri Subramaniyar Swami di Batu Caves pada Isnin lepas. Kunjungan ratusan ribu orang secara bertalu-talu sejak beberapa hari membuatkan kawasan sekitar kawasan kuil dinodai sikap pengunjung yang membuang sampah merata-rata.

Tidak tahan dengan ‘tradisi’ itu, seorang lelaki muda mengambil inisiatif untuk memulakan kempen membersihkan sampah di perkarangan kuil selama 3 hari bersama 37 orang sukarelawan.

Lelaki itu, JK Wicky memulakan kempen itu menerusi pembikinan sebuah video berjudul #KasakkuNasukku yang membawa maksud ‘penyekkan sampah’ sebagai pemula inisiatifnya.

“Antara konteks video tersebut adalah meminta pengunjung dan penganut agar mengurangkan penggunaan barangan yang diperbuat daripada plastik. Kami menyeru mereka tidak membuang sampah secara merata-rata ketika mengunjungi kawasan kuil sempena perayaan Thaipusam ataupun di mana-mana sambutan seumpamanya.

“Sebelum ini, Majlis Perbandaran Selangor (MPS) dan beberapa NGO pernah memulakan kempen ‘Go Green’ dan ‘Kempen Bebas Sampah Thaipusam’. Kami mendapati cara-cara seperti mengedarkan risalah dan memberi penerangan tidak memberi impak yang menyeluruh. Lazimnya, usaha turun sendiri mengutip sendiri sampah sedikit sebanyak membantu.

“Oleh itu, kami menggunakan pendekatan sama dengan turun padang membersihkan kawasan tersebut secara sukarela,” katanya kepada ketika dihubungi FMT Ohsem.

Wicky berkata, operasi membersihkan perkarangan kuil Batu Caves dilakukan selama 3 hari berturut-turut bermula Sabtu 19 Januari hingga 21 Januari dari pukul 4 petang hingga 7 malam.

Kepada mereka yang tidak mengenali Wicky, beliau adalah seorang pengarah filem Tamil yang terkenal dan pernah bekerja dalam beberapa projek seni hiburan.

Kebanyakan sukarelawan yang menyertai operasi pembersihan terdiri daripada krew yang bekerja dalam sebuah syarikat produksi tempatan, Trium Studios serta rakan-rakan mereka.

“Pada hari terakhir, terdapat sekumpulan remaja yang datang menyambut perayaan Thaipusam tetapi tergerak untuk menyertai kami dalam operasi pembersihan,” katanya yang akui menerima respon positif daripada orang ramai sepanjang kempen.

Wicky menggunakan media sosial sebagai medium komunikasi dan perkongisan maklumat berkata, pendekatan itu berjaya menarik lebih ramai sukarelawan menyertainya mereka membersihkan sampah.

“Kami hanya mahukan persekitaran kembali bersih dan tidak dicemari dengan longgokkan sampah.

“Pada hari kedua dan ketiga kami terpaksa meredah hujan ketika memulakan operasi pembersihan. Malah, himpunan orang ramai yang sedang menyaksikan dan menjalankan upacara sembahyang sedikit sebanyak menyukarkan proses pembersihan tersebut.

“Kita tidak boleh menganggu upacara tersebut dan terpaksa tunggu hingga ia selesai,” Wicky menceritakan antara cabaran yang dihadapi pihaknya.

Jelasnya lagi, lebih 80% sampah yang dipungut terdiri daripada barangan plastik seperti botol air mineral, minuman karbonat dan botol susu yang dibuang merata-rata.

Bagi Wicky, isu pembuangan sampah dalam kalangan rakyat tempatan wujud setiap kali musim sambutan seperti ambang Tahun Baru, upacara Thaipusam, bazar Ramadan, ambang Hari Kemerdekaan dan sebagainya.

Wicky yang pernah menggondol Anugerah Industri Muzik India dalam kategori Video Muzik terbaik pada tahun 2013 berkata akan membuat pengumuman awal bagi mengumpulkan lebih banyak sukarelawan pada masa akan datang.

Beliau yang akan mengeluarkan sebuah filem Tamil Malaysia berunsur seram yang bertajuk ‘Poochandi’ juga mahu membersihkan Batu Caves setiap jam jika memperoleh sukarelawan yang mencukupi pada tahun-tahun mendatang.

“Kami juga bercadang akan menubuhkan aktiviti #cleanthaipusam di Penang dan Ipoh, jika segalanya berjalan lancar seperti yang dirancang.”

Anda ada berita menarik untuk dikongsi?
Sila email ke [email protected]