Pesara tentera gesa kerajaan selaras kadar pencen

KUALA LUMPUR: Sebuah persatuan veteran tentera hari ini menggesa kerajaan menyelaraskan kadar pencen lama dengan kadar pencen baru, kerana jumlah yang diterima mereka yang tamat perkhidmatan sebelum 2013 tidak cukup untuk berdepan kos sara hidup semasa.

Gerakan Reformasi Veteran Angkatan Tentera Malaysia (GRVATM) berkata jumlah yang diterima mereka terlalu sedikit dan jauh berbeza dengan mereka yang tamat perkhidmatan 6 tahun lalu.

Pengerusi Azizan Salleh berkata jurang perbezaan itu kerana gaji kakitangan sekarang lebih banyak berbanding gaji kakitangan zamannya.

“Zaman saya kalau pencen koperal dapat RM500 atau RM600 sahaja. Kadang-kadang ada yang cacat pencen RM400-RM500. Nak makan apa?” katanya pada sidang media hari ini.

“Sepatutnya kerajaan fikir untuk selaraskan pencen. Tentera OKU yang terlibat semasa perang sekadar mendapat RM150-RM200 sahaja. Cubalah fikir,” tambahnya.

Beliau menggesa kerajaan mengisytiharkan pelan dan inisiatif, serta membentangkan hala tuju yang jelas, yang dapat meningkatkan kebajikan veteran tentera.

“Kumpulan veteran lain-lain pangkat paling terdedah kepada kesukaran kerana peningkatan kos sara hidup dan jumlah pencen yang rendah.

“Perubahan dasar atau pembentukan pelan kebajikan yang melibatkan veteran sangat mempengaruhi kehidupan mereka,” katanya.

Gerakan Reformasi Veteran Angkatan Tentera Malaysia menggesa kerajaan selaraskan kadar pencen sebelum sidang media di Tugu Negara hari ini.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) meminta kerajaan mengkaji kenaikan kadar pencen pesara sebelum 2000 melebihi 2% setiap tahun supaya jurang tidak terlalu ketara.

Presiden Datuk Mohamed Arshad Raji berkata, walaupun semua pesara menikmati kenaikan pencen 2% setiap tahun, bayaran diterima pesara dulu jauh lebih rendah daripada kakitangan yang bersara selepas 2000, iaitu melebihi 100% kenaikan.

“Kami yang lama-lama ini, pencen zaman 70-an, 80-an dan 90-an ketinggalan dari segi jumlahnya. Itulah yang selalu veteran bising dan bangkitkan. Ini perkara yang perlu dipertimbangkan, benda ini sudah diluahkan pelbagai persatuan veteran,” katanya kepada FMT.

Negara mempunyai lebih 200,000 pesara tentera ketika ini.