Warga Felda berbelah bahagi undi PH kerana harga sawit merudum

Papan tanda penempatan Felda yang menyambut kedatangan pemberita.

CAMERON HIGHLANDS: Kurang beberapa jam lagi sebelum warga Felda di Cameron Highlands memilih, rata-rata yang ditemui belum membuat keputusan antara Barisan Nasional atau Pakatan Harapan.

Kebanyakannya rasa berbelah bahagi, menyedari Barisan Nasional, yang dianggap banyak berjasa kepada warga Felda, tidak mampu berbuat apa-apa keadaan ekonomi yang kurang baik sekarang ini.

Dalam masa yang sama, keadaan juga tidak bertambah baik bawah Pakatan Harapan.

Di Felda Sungai Koyan, seorang penduduk, Mohd Mustafa Harun berkata kehidupan mereka benar-benar terkesan dengan kejatuhan harga sawit.

“Rata-rata peneroka sangat marah kepada PH kerana harga sawit jatuh teruk,” katanya.

Mustafa berkata sebarang undi kepada BN hanya kerana mengenangkan jasa gabungan itu.

“Peneroka kekal memilih BN sebab banyak jasa,” katanya.

Shahran Hadar.

Bagi Shahran Hadar, harga sawit sekarang jatuh lebih kurang separuh. Oleh kerana aktiviti sawit punca utama rezeki mereka, kesannya amat dirasai.

“Dulu harga sawit paling rendah RM650 satu tan. Kalau turun pun RM10 atau RM20 sahaja, ia tidak akan kurang daripada itu walaupun harga jatuh teruk.

“Sekarang harga jatuh RM380 satu tan,” kata bendahari persatuan penduduk di Felda Sungai Koyan 3 ini.

Shahran mendakwa dia difahamkan banyak bantuan dan sokongan daripada kerajaan seperti pinjaman perumahan dan pendidikan dibekukan.

“Dulu kalau nak buat rumah, kerajaan bagi pinjaman RM40,000 ke bawah tanpa faedah. Ada juga pinjaman perniagaan, komputer dan pendidikan. Sekarang ini tidak nampak. Tak tahu akan datang macam mana.

Shahran mendakwa peneroka juga tidak menerima penyata hutang daripada Felda, menyukarkan mereka untuk mengetahui kedudukan hutang mereka dengan lembaga itu.

“Sepatutnya ada penyata daripada Januari sampai Jun, dan satu lagi pada Disember. Sekarang tidak ada dan kebanyakan peneroka marah sebab itu,” katanya.

Sementara itu, Hamid Mat Said mendakwa sebahagian besar warga Felda masih bersama BN, walaupun golongan muda dikatakan mula memandang kepada PH.

“Banyak jasa BN, antaranya dapat ladang 40 ekar dan perbelanjaan untuk anak-anak belajar,” katanya.

Ditanya perasaannya mengenai kejatuhan BN, Hamid berkata gabungan itu tumbang kerana sikap dengki dan berpuak-puak dalam orang Melayu, disamping budaya rasuah dan berebut jawatan.

“Itu paling ketara. Kalau boleh ubah sikap itu, elak budaya rasuah dan berebut jawatan, BN boleh tawan semula Putrajaya,” katanya.

Ali Mat Karim.

Seorang lagi warga Felda, Ali Mat Karim menyokong mana-mana parti yang memperjuangkan orang Melayu, Islam dan Malaysia.

“Saya tak ada parti. Saya berjiwa bangsa, agama dan negara. Jangan ingat politik hanya untuk menang tapi bangsa kita abaikan.

“Isu rakyat kena diutamakan, bukan berpolitik 24 jam. Rakyat nak tengok kerajaan hari ini lebih baik daripada dulu,” katanya.

Dalam masa yang sama, Ali memberitahu kebanyakan warga Felda boleh menerima PPBM, PKR dan Amanah tetapi menolak DAP.

“Kita boleh terima Mohamad Sabu, Tun Dr Mahahir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Muhyiddin Yassin tapi tidak DAP,” katanya.

Beliau berkata penolakan itu kerana bimbang hak-hak Melayu akan hilang dan Felda diswastakan menjadi seperti syarikat-syarikat perladangan swasta besar yang tidak dikuasai oleh orang Melayu.

“Saya tak benci kaum lain tapi saya bimbang, itu sahaja. Kawan saya ramai bukan Melayu, dan saya bercakap sebagai Bumiputera,” katanya.

Sementara itu, Abdul Latif Mohamad mahu Pakatan Harapan menang di Cameron Highlands kerana wakil rakyat itu nanti menjadi penghubung antara rakyat dan kerajaan pusat.

Beliau merasakan warga Felda perlu mengundi secara strategik dan meletakkan wakil-wakil rakyat yang mengikut keperluan semasa.

“Negeri BN menang, jadi saya rasa elok Parlimen kita bagi PH. Dia boleh desak kerajaan bela nasib warga Felda, jadi tak timbul isu tangguh bantuan kerana negeri ditadbir parti lain,” katanya.

Rakyat Cameron Highlands akan memilih esok. Calon BN, Ramli Md Nor akan mempertahankan kerusi Parlimen itu daripada calon PH, M Manogaran serta 2 calon bebas, Wong Seng Yee dan Sallehuddin Ab Talib.