Azmin: Kerajaan muktamad batal kontrak CCCC bina ECRL

Menteri Hal-ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan juga belum memutuskan pihak pemaju baru bagi projek ECRL, sebaliknya akan terus mengkaji permohonan pelaburan baru ke dalam negara. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah memuktamadkan pembatalan kontrak dengan China Communication Construction Company Ltd (CCCC) bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang digantung pada Julai 2018, pada mesyuarat Kabinet 2 hari lepas.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keputusan itu diambil setelah meneliti semula kos dan mendapati ia terlalu besar serta di luar kemampuan kewangan kerajaan buat masa ini.

“Sekiranya projek itu tidak ditamatkan, kadar faedah yang perlu dibiayai kerajaan adalah hampir RM500 juta setahun.

“Oleh itu, projek perlu ditamatkan tanpa menjejaskan hubungan dengan China,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis anugerah kecemerlangan dan mesyuarat agung Silat Cekak Hanafi 2019 di sini, hari ini.

Pembinaan ECRL sepatutnya dikendalikan oleh CCCC, manakala pembiayaan itu akan disediakan Export-Import Bank of China (Exim Bank of China).

Projek sepanjang 688.3 kilometer itu, jika dibina, akan menghubungkan Pelabuhan Klang di Selangor dengan Pengkalan Kubor di Kelantan dan akan dibangunkan dalam 2 fasa.

Menurut Azmin, Malaysia masih mengalu-alukan segala bentuk pelaburan dari China, namun ia akan diteliti terlebih dahulu selain mengikut kemampuan kewangan negara.

Mengulas nilai pampasan kepada CCCC, Mohamed Azmin berkata, jumlah pampasan yang perlu dibayar berikutan pembatalan kontrak tersebut akan diteliti oleh Kementerian Kewangan melalui kajian wajar menyeluruh bagi memastikan ia tidak akan membebankan kewangan negara.

Beliau berkata, kerajaan juga belum memutuskan pihak pemaju baru bagi projek ECRL, sebaliknya akan terus mengkaji permohonan pelaburan baru ke dalam negara.

“Setakat ini Malaysia terima semua bentuk pelaburan dalam negara, daripada mana-mana pihak, tetapi melihat kepada kedudukan kewangan negara.

“Kita sentiasa menilai semua permohonan baru untuk pelaburan di Malaysia, bukan ECRL sahaja, kerana mahu kekalkan aliran pelaburan langsung asing (FDI) dari luar,” katanya.

Beliau berkata, dasar kerajaan adalah memastikan FDI kekal utuh bagi mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat.

Portal berita Straits Times yang berpangkalan di Singapura sebelum ini melaporkan penamatan kontrak itu diambil susulan kegagalan CCCC mengurangkan kos projek kepada separuh, iaitu RM40 bilion berbanding RM81 bilion sebelum ini, selain menepati beberapa permintaan lain kerajaan.