BN dijangka menang PRK pertama selepas PRU14

Pegawai SPR membawa peti undi ke pusat penjumlahan undi di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah.

CAMERON HIGHLANDS: Barisan Nasional (BN) dijangka memenangi pilihan raya kecil (PRK) pertamanya selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu, berdasarkan keputusan tidak rasmi di Cameron Highlands hari ini yang menunjukkan calonnya, Ramli Mohd Nor mendahului setakat 7 malam tadi.

Bekas pegawai kanan polis itu memperolehi 11,381 undi mengatasi pencabar terdekat daripada Pakatan Harapan, M Manogaran yang mendapat 7,182 undi.

Jumlah undi yang dikira setakat ini melebihi 50%.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan peratusan keluar mengundi ialah 68.79%, selepas semua pusat mengundi ditutup pada 5.30 petang tadi.

Jika BN menang, Ramli bakal menjadi ahli Parlimen Orang Asli pertama di Dewan Rakyat.

Parlimen Cameron Highlands mempunyai 32,008 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 34.4% pengundi Melayu, Cina (29.8%), India (14.8%) dan lain-lain kaum (20.9%).

PRK ini diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 November lalu mengisytiharkan kemenangan Datuk C Sivarraajh daripada BN dalam pilihan raya umum ke-14 Mei tahun lepas, terbatal dan tidak sah kerana berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Pada 9 Mei tahun lalu, Sivarraajh memperoleh 10,307 undi menewaskan Manogaran yang meraih 9,710 undi, Wan Mahadir Wan Mahmud daripada PAS (3,587 undi), B Suresh Kumar daripada Parti Sosialis Malaysia (680 undi) dan Mohd Tahir Kassim daripada Berjasa (81 undi).

PRK ini adalah yang ke-5 selepas PRU14, iaitu Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong di Selangor serta Port Dickson di Negeri Sembilan.