Hadi: Keputusan PRK Cameron Highlands tentukan bentuk kerjasama BN-PAS

Hadi Awang berbual dengan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hassan ketika menghadiri ceramah perdana sempena kempen PRK Cameron Highlands di Sungai Koyan 1, pada 20 Januari lalu. (Gambar Bernama)

KUALA TERENGGANU: Keputusan pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands akan menjadi kayu pengukur bentuk kerjasama yang akan terjalin antara PAS dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi PRK Semenyih.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, setakat ini beliau berpuas hati dengan bentuk kerjasama antara kedua-dua pihak, namun akan mengkaji keberkesanan kerjasama itu selepas melihat keputusan PRK Cameron Highlands.

“Setakat ini, kita berpuas hati dengan kerjasama antara PAS dan BN…ia sangat positif dan yang mana negatif, kita tidak akan ulang…sama ada akan teruskan kerjasama dengan BN akan kita lihat menerusi PRK Cameron Highlands nanti,” katanya selepas merasmikan Simposium Seni dan Hiburan Menurut Islam di Dewan Teater Perpustakaan Awam Kuala Terengganu, hari ini.

PRK Semenyih akan diadakan berikutan kekosongan kerusi selepas kematian Adunnya, Bakhtiar Mohd Nor pada 11 Januari lepas.

PRK Semenyih adalah yang ke-4 diadakan di Selangor selepas pilihan raya umum ke-14. Sebelum ini, Selangor sudah mengadakan 3 PRK, iaitu di Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong.

Hubungan PAS dan BN dilihat semakin erat dalam PRK Cameron Highlands, apabila pucuk pimpinan PAS, termasuk Hadi dan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar berkempen membantu calon BN, Ramli Mohd Nor, berbanding PRK Sungai Kandis dan Seri Setia yang hanya tertumpu kepada program bersama sahaja.