Jangan jadikan lantikan GLC ganjaran politik, kata badan pemikir

Sejarah negara banyak dicemari skandal kewangan dan pengurusan yang berpunca daripada campur tangan politik atau pelantikan individu tidak berkelayakan untuk mengurus GLC atau institusi berkepentingan awam.

KUALA LUMPUR: Profesional, bukan ahli politik, sepatutnya mengetuai syarikat berkaitan kerajaan (GLC), kata Centre for Better Tomorrow (Cenbet).

Naib presidennya Simon Lim Seng Chai dalam satu kenyataan hari ini berkata, jawatan kepimpinan GLC tidak seharusnya dijadikan “ganjaran” kepada mana-mana orang politik.

“Kami amat bimbang berhubung trend yang semakin meningkat yang menyaksikan kerajaan pusat dan beberapa kerajaan negeri melantik pemimpin politik ke dalam GLC dan agensi tanpa memiliki rekod prestasi berkaitan, atau pada saat terdapat ramai individu lain yang lebih berkelayakan untuk mengisi jawatan terbabit. Ini berlawanan dengan semangat Malaysia Baru.”

Lim berkata, kerajaan perlu memastikan wujud ketelusan dalam pelantikan penting GLC, dan kompetensi dijadikan kriteria utama pemilihan.

“Jawatan penting dalam GLC dan agensi kerajaan tidak harus dilihat sebagai ganjaran politik. Jawatan terbabit merupakan amanah kepentingan awam, dan ini termasuklah pengurusan dana yang mencecah angka berbilion ringgit

“Oleh sebab itu, jawatan ini hendaklah dikhaskan kepada golongan profesional dan mereka yang benar-benar layak.”

Naib presiden Cenbet, Simon Lim Seng Chai.

Lim berkata, sebagai pertubuhan yang memperjuangkan governans baik, Cenbet juga “terganggu” berhubung “ketidaktelusan” beberapa pelantikan yang dibuat.

“Sejarah negara kita banyak dicemari skandal kewangan dan pengurusan yang berpunca daripada campur tangan politik atau pelantikan individu tidak berkelayakan untuk mengurus GLC atau institusi berkepentingan awam.

“Kami percaya bukanlah satu kebetulan apabila sesetengah GLC berdepan kontroversi. Seperti FGV, Tabung Haji dan PKFZ, semuanya pernah diketuai oleh lantikan politik pada masa-masa tertentu.”

Beliau menggesa kerajaan mengumumkan secara terbuka asas lantikan individu penting dalam semua GLC atas keperluan ketelusan. Ini termasuklah memaklumkan rekod prestasi lantikan baru yang dibuat dan sebab-sebab mereka paling layak untuk jawatan terbabit.

Ini katanya, akan menyuburkan budaya pelantikan berasaskan kelayakan atau merit. Pelantikan individu yang tepat sangat penting kerana di bawah kepimpinan yang berkebolehan, GLC berupaya menjana pendapatan lebih tinggi, sekali gus memimpin organisasi terbabit dalam menghadapi cabaran ekonomi serta memastikan kepentingan pembayar cukai dilindungi.

“Telah tiba masanya kerajaan menyemak semula peranan sesetengah GLC. Sepatutnya kerajaan tidak berniaga (kecuali industri strategik tertentu), sebalik berperanan mewujudkan persekitaran perniagaan yang kompetitif dan sihat.

“Ini akan membolehkan sektor swasta berkembang, bukannya terhalang dalam ekosistem perniagaan berat sebelah yang memberi kelebihan kepada GLC yang tidak diurus dengan baik.”