Menteri: Usul mansuh Akta Hasutan dijangka bentang Mac depan

Liew Vui Keong berkata, definisi perkataan hasutan adalah luas dan boleh disalah erti.

SANDAKAN: Kerajaan dijangka membentangkan usul memansuhkan Akta Hasutan 1948 pada sidang Dewan Rakyat Mac ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong.

Beliau berkata, apabila akta itu dimansuhkan, kerajaan akan memperkenalkan akta baru.

“Saya sebagai menteri yang menjaga hal undang-undang telah mengadakan mesyuarat dengan jawatankuasa berkaitan daripada semua kementerian dan keputusan telah dibuat untuk mengkaji dan memansuhkan Akta Hasutan dan diganti satu akta baru,” katanya pada program persembahan tarian naga, unikorn dan singa anjuran Persatuan Masyarakat Tionghua Bersekutu Sandakan di sini, hari ini.

Liew menjelaskan di bawah akta sedia ada, definisi perkataan hasutan adalah luas dan boleh disalah erti.

Ditanya cadangan memansuhkan hukuman mati, beliau berkata, kerajaan masih menunggu pandangan semua kementerian dan mengambil kira impak kepada masyarakat, khususnya perasaan ahli keluarga pesalah yang berdepan hukuman itu.

Beliau turut memaklumkan kerajaan belum mendapat sokongan majoriti 2/3 daripada anggota Dewan Rakyat bagi membolehkan Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk melanjutkan umur persaraan hakim kepada 70 tahun.

“Setakat ini, Pakatan Harapan ada 115 anggota daripada 222 anggota dalam Dewan Rakyat. Kerajaan memerlukan sekurang-kurangnya sokongan daripada 148 anggota (daripada 222) untuk menyokong pindaan tersebut.

“Sekiranya ada sokongan daripada pihak pembangkang, pindaan terhadap perlembagaan boleh dibuat,” katanya.

Mengikut Perlembagaan Persekutuan, hakim boleh berkhidmat sehingga 66 tahun dan 6 bulan.