Penyokong BN, PAS berang Kit Siang masuk kawasan mengundi

Kekecohan berlaku apabila Kit Siang bersama beberapa individu, termasuk Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran memasuki kawasan 50 meter dari tempat mengundi di SJKC Brinchang sambil membawa bendera parti. (Gambar Video)

CAMERON HIGHLANDS: Penyokong Barisan Nasional (BN) dan PAS berang dengan tindakan penasihat DAP, Lim Kit Siang yang didakwa melanggar peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan memasuki kawasan tempat mengundi pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands yang berlangsung hari ini.

Kekecohan tercetus apabila Kit Siang bersama beberapa individu, termasuk Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran bertindak memasuki kawasan 50 meter dari tempat mengundi di SJKC Brinchang sambil membawa bendera parti.

“Tidak boleh dekat 50 meter, kamu yang buat undang-undang, kamu sendiri langgar.

“Kalau kita buat kamu bising, tapi kamu buat boleh,” kata penyokong pembangkang yang berada di tempat kejadian sambil mendesak supaya Kit Siang dihalau keluar.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Armand Azha Abu Hanifah yang ditemui berkata, PH termasuk Kit Siang, sebagai parti pemerintah perlu menghormati undang-undang yang dibuat, bukannya bertindak sebaliknya.

“Kerajaan ke pembangkang ini? Kerajaan kena ikut undang-undang, tidak boleh macam ini,” katanya.

Kekecohan kemudian dileraikan oleh pihak berkuasa yang berapa di tempat kejadian selepas 10 minit.

Ketika ditemui media, veteran DAP itu enggan memberi sebarang komen.

“Tunggu dan lihat proses pengundian,” katanya.

Kit Siang bersama penyokong kemudian menaiki kenderaan dan beredar dari tempat kejadian.

Tinjauan FMT mendapati keadaan jalan ke tempat mengundi berkenaan agak mengelirukan kerana ia berada di tepi jalan utama menuju ke Tanah Rata.

Seramai 31,639 pengundi di Cameron Highlands membuat pilihan hari ini siapakah yang akan mewakili suara mereka di Parlimen dalam pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu selepas 14 hari berkempen.

Empat calon yang bertanding adalah daripada Pakatan Harapan (PH) iaitu Timbalan Pengerusi DAP Pahang, M Manogaran; bekas pegawai kanan polis Ramli Mohd Nor mewakili (BN); serta 2 calon Bebas, iaitu bekas pensyarah kanan Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee yang merupakan petani tempatan.

Semua 29 pusat mengundi dengan masing-masing 17 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanah Rata, serta 12 lagi di DUN Jelai dibuka tepat pukul 8 pagi ini bagi membolehkan pengundi menunaikan tanggungjawab mereka.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), 29 pusat mengundi itu yang semuanya melibatkan bangunan sekolah akan ditutup secara berperingkat dengan sebuah ditutup pada 1 tengah hari; 5 (2 petang); 9 (3 petang); satu (3.30 petang); 7 (4 petang) dan 6 (5.30 petang).

SPR menyasarkan 70% pengundi keluar mengundi hari ini dan menjangkakan keputusan akan diketahui selewat-lewatnya 10 malam.

PRK ini adalah yang kelima setelah pilihan raya umum Mei tahun lepas dengan 3 PRK sebelum ini melibatkan DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong di Selangor serta PRK Parlimen Port Dickson.