3 didakwa terima rasuah RM1.8 juta dibebas dengan jaminan SPRM

Dua pengarah dan seorang ejen insurans ditahan SPRM bagi membantu siasatan berkait dakwaan rasuah dan salah guna dana syarikat.

PUTRAJAYA: Dua pengarah syarikat, termasuk seorang bergelar “Datuk” dibebaskan hari ini selepas direman 5 hari bagi membantu siasatan kes rasuah serta tuntutan palsu kira-kira RM1.8 juta.

Perintah tamat reman dikeluarkan Majistret Muhamad Bukhori Md Ruslan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebanyak RM100,000 dengan 2 penjamin setiap seorang.

Sebelum ini, kedua-dua suspek itu direman 3 hari bermula 23 hingga 25 Januari lalu sebelum dilanjutkan 3 hari lagi sehingga esok, namun dibebaskan lebih awal hari ini.

Turut direman berhubung kes itu ialah ejen insurans wanita, bagaimanapun tempoh remannya tidak disambung dan dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin pada 25 Januari lalu.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009. Terdahulu kedua-dua suspek berkenaan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini pada 9.05 pagi untuk prosiding tamat reman.

Menurut sumber SPRM, ketiga-tiga suspek itu disyaki menerima rasuah daripada pembekal peralatan kilang berhubung pembelian mesin bagi operasi sebuah syarikat yang kedua-dua pengarah syarikat itu turut mempunyai saham, di samping turut disyaki terbabit dalam salah guna kuasa ke atas dana syarikat untuk kepentingan peribadi.

Mereka ditahan di ibu pejabat SPRM Selasa lalu ketika hadir memberi keterangan. Pengarah syarikat bergelar “Datuk” berusia 44 tahun itu ditahan kira-kira 12 tengah hari dan seorang lagi suspek berusia 51 tahun kira-kira sejam kemudian.

Suspek wanita yang juga ejen insurans berusia 29 tahun ditahan pada 2 petang.

Sementara itu, dalam kes berasingan, bekas pengurus kanan produk di sebuah syarikat yang ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes menerima suapan lebih RM2 juta, dibebaskan hari ini selepas direman 5 hari.

Perintah tamat reman dikeluarkan Bukhori dengan jaminan SPRM sebanyak RM100,000 dengan 2 penjamin, selain pasport diserahkan kepada SPRM.

Sebelum ini, suspek direman 3 hari bermula 23 Jan lepas, sebelum dilanjutkan 2 hari lagi dan berakhir hari ini. Terdahulu suspek dibawa ke Mahkamah Majistret di sini pada 9.15 pagi.

Selasa lalu, suspek berumur 40 tahun itu ditahan kira-kira 4.35 petang di ibu pejabat SPRM selepas hadir memberi keterangan dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.