TPM: PH kalah di Cameron Highlands kerana pengundi anggap kami pembangkang

Wan Azizah Wan Ismail (tengah) menghadiri Majlis Makan Malam Amal Persatuan Sukarelawan Hospital Ampang, malam ini. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Punca Pakatan Harapan (PH) kalah dalam pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands disebabkan persepsi pengundi yang masih menganggap gabungan parti pemerintah itu ialah pembangkang, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan perdana menteri berkata, persepsi itu antara punca calon PH, M Manogaran ditolak pengundi Cameron Highlands buat kali ke-3 berturut-turut.

“Banyak faktor yang boleh kita lihat, mungkin sesetengah pengundi masih belum sedar PH sudah menjadi kerajaan persekutuan.

“Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan PAS juga menyumbang kepada majoriti undi yang meningkat dalam PRK ini,” katanya selepas Majlis Makan Malam Amal Sukarelawan Hospital Ampang sempena Ulang Tahun ke-10 Persatuan Sukarelawan Hospital Ampang malam ini.

BN berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands menerusi calonnya, Ramli Mohd Nor yang meraih 12,038 undi menewaskan Manogaran yang mendapat 8,800 undi, manakala 2 calon bebas, Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee masing-masing memperoleh 314 serta 276 undi.

Kelebihan 3,238 undi itu ialah majoriti ke-2 tertinggi dimenangi BN selepas 2004, apabila calon MIC, S K Devamany mengalahkan calon DAP, J Apalasamy dengan majoriti 6,260 undi.

Mengenai kemungkinan PH bekerjasama dengan PAS, Wan Azizah berkata: “Kalau boleh, kita mahu semua orang bagi sokongan, bukan sahaja PAS. Kita adalah negara majmuk dan sebagai kerajaan, PH mahu membina polisi yang sesuai untuk semua demi memajukan negara.”

Sementara itu, Wan Azizah berkata, beliau tidak tahu mengenai kenyataan bercanggah 2 menteri berhubung pembatalan projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), semalam.

“Saya berada di luar negara ketika percanggahan itu berlaku, tetapi saya akan bertanya kepada Kabinet mengapa perkara ini boleh terjadi.

“Isu ECRL memerlukan satu keputusan besar dan pertimbangan menyeluruh, mungkin pada mulanya apa yang diperkatakan (Datuk Seri) Azmin (Ali) adalah benar, tetapi mungkin ada banyak faktor lain yang timbul dan kemudian ia dipertimbangkan semula.”

Ditanya sama ada beliau akan menasihatkan 2 menteri itu, katanya: “Perdana menteri yang patut bagi nasihat.”

Semalam, Azmin yang juga menteri hal ehwal ekonomi mengumumkan Putrajaya membatalkan projek bernilai RM81 bilion itu dalam mesyuarat Kabinet Khamis lalu.

Katanya, keputusan itu diambil selepas meneliti semula kos yang didapati terlalu besar dan di luar kemampuan kewangan kerajaan buat masa ini.

“Sekiranya projek itu tidak ditamatkan, kadar faedah yang perlu dibiayai kerajaan adalah hampir RM500 juta setahun.

“Oleh itu, projek perlu ditamatkan tanpa menjejaskan hubungan dengan China,” kata Azmin semalam.

Bagaimanapun, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng terkejut dengan pengumuman itu dan berkata, Azmin mungkin “tidak dimaklumkan” perkara tertentu yang diputuskan Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini mengenai projek itu.