20% rumah mampu milik dibuka kepada bukan rakyat P Pinang

(Gambar Bernama)

GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang hari ini mengumumkan penjualan 20% daripada unit rumah mampu milik dibuka pada harga pasaran kepada bukan rakyat negeri itu.

Kuota 20% untuk bukan warga Pulau Pinang itu bawah kategori pasaran terbuka yang dinaikkan daripada 30% kepada 40% hari ini.

Kadar 30% kategori pasaran terbuka diperkenalkan tahun lalu untuk menggalakkan penjualan unit di bawah kategoi mampu milik.

Bagaimanapun, ia kurang berjaya disebabkan kadar tinggi penolakan pinjaman.

Kategori terbuka tidak terikat dengan kadar rumah mampu milik dan bergantung kepada kadar pasaran sekarang.

Pada masa sekarang, harga ditetapkan kerajaan antara RM150,000 dan RM300,000 di pulau dan
antara RM150,000 dan RM250,000 di Seberang Perai.

Ketika membuat pengumuman itu hari ini, Exco Perumahan Jagdeep Singh Deo juga mengumumkan kelayakan pendapatan lebih tinggi untuk semua rumah mampu milik untuk rakyat Pulau Pinang.

Katanya, dalam setiap kategori, had pendapatan dinaikkan RM2,000. Untuk rumah berharga RM150,000 pendapatan isi rumah yang layak ialah RM8,000 sebulan. Bagi RM200,000 adalah RM10,000 dan RM300,000 adalah RM12,000. Ini untuk unit rumah mampu milik di seluruh negeri.

Jagdeep juga mengumumkan pengecualian 3% yuran kelulusan untuk warga asing yang membeli hartanah di Pulau Pinang bagi Februari untuk menggalakkan penjualan di musim Tahun Baru Cina.

Pada masa ini, warga asing hanya boleh membeli rumah atas tanah di pulau berharga daripada RM2 juta hingga RM3 juta.

Untuk tanah besar, warga asing boleh membeli pangsapuri berharga lebih RM500,000 dan rumah atas tanah berharga RM1 juta.

Jagdeep berkata dengan pengecualian 3% itu, warga asing tidak perlu bayar RM90,000 untuk hartanah bernilai RM3 juta.

“Pulau Pinang tempat di mana pelaburan anda dalam hartanah tidak boleh gagal sebab ia memang dicari. Lagi awal anda datang, anda akan untung kerana harga hartanah anda akan meningkat,” katanya di Komtat.

Jagdeep berkata, hartanah yang tidak dijual di Penang berada pada tahap yang boleh diurus, iaitu lebih sedikit daripada 3,000 unit.

Beliau yakin tidak lama lagi hartanah ini akan diberi dengan segera.

Tahun lepas, dilaporkan lebih separuh daripada rumah yang ada dalam pasaran berharga lebih daripada RM500,000 hingga menyebabkan kerajaan negeri menggesa pemaju berhenti membina rumah mewah.

Berdasarkan data Pusat Maklumat Hartanah Negara, terdapagt 4,092 unit rumah tidak dapat dijual pada suku pertama 2018 dengan 2,383 unit berharga RM500,000 dan lebih.

Daripada 2,383 unit, 901 dijual dengan harga RM1 juta dan lebih dan 1,482 dengan harga lebih RM1.5 juta.

Pada masa ini, harga siling rumah di bawah kategori mampu milik di Pulau Pinang yang dibenarkan kerajaan ialah RM150,000 seunit berukuran 750 kaki persegi, RM250,000 (800 kaki persegi) dan RM300,000 (900 kaki persegi).

Di Seberang Perai, harganya RM150,000 (750 kaki persegi), RM200,000 (800 kaki persegi) dan RM250,000 (900 kaki persegi).

Bagi kategori kos rendah dan kos sederhana rendah, harganya RM42,000 (650 kaki persegi) dan RM72,500 (700 kaki persegi).