Bapa Altantuya persoal integriti bekas konsul

SHAH ALAM: Bapa Altantuya Shaariibuu hari ini persoalkan integriti bekas konsul kehormat Mongolia ke Malaysia, yang menjadi pegawai perhubungan antara keluarganya dengan pihak berkuasa.

Shaariibuu Setev meragui Syed Abdul Rahman Alhabshi berdasarkan beberapa insiden dalam urusan mereka berdua berhubung dengan siasatan pembunuhan Altantuya.

Pada 29 Ogos 2008, katanya, Syed Abdul Rahman mengirim emel kepada kementerian luar Mongolia dan memberitahu beliau adalah ahli parti pemerintah dan berusaha menolak segala spekulasi tentang penglibatan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang ketika itu timbalan perdana menteri.

Dalam kenyataan di Mahkamah Tinggi hari ini, Shaariibuu berkata, emel itu diterjemahkan untuknya oleh seorang peguam Mongolia selepas pegawai kementerian, Ganbold D, membekalkan satu salinan kepadanya.

Beliau juga mendakwa, Syed Abdul Rahman mengundang beliau ke kediamannya di Kuala Lumpur di mana beliau menunjukkan sekeping gambar besarnya bersama Najib sebaik sahaja Abdul Razak Baginda dibebaskan daripada tuduhan bersubahat dalam pembunuhan Altantuya.

“Dia beritahu saya mereka (Syed Abdul Rahman dan Najib) rakan karib,” kata Shaariibuu ketika disoal peguam, Sangeet Kaur Deo.

Shaariibuu, seorang profesor bersara berkata, Syed Abdul Rahman memintanya juga menyerahkan tiket-tiket penerbangan dan penyata bank Altantuya, di samping beberapa gambar wanita Mongolia itu.

“Saya beranggapan benda-benda tersebut hendak digunakan untuk perbicaraan jenayah. Saya tidak tahu sama ada semua dokumen itu dihantar kepada pihak berkuasa atau digunakan dalam perbicaraan,” katanya.

Shaariibuu juga mendapati Syed Abdul Rahman dan seorang pegawai kementerian Mongolia, dikenali sebagai Aruinbold, bertindak bertentangan dengan kepentingan beliau dan keluarga.

“Aruinbold menganjur satu pameran,” katanya, tetapi tidak memberi maklumat lanjut dalam kenyataannya itu.

Beliau meminta kementerian menggugurkan Syed Abdul Rahman daripada jawatannya dan ini dilakukan kemudian.

Katanya, beliau hairan dengan keputusan mahkamah menyabitkan Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri dengan kesalahan membunuh Altantuya sedangkan kedua mereka tidak kenal anaknya atau mempunyai sebab membunuhnya.

Pihak pendakwa juga enggan membuat rayuan terhadap pembebasan Razak tanpa dipanggil membela diri, katanya.

“Peguam saya (mendiang Karpal Singh) meminta semakan semula penghakiman, tetapi permohonan ditolak dan kami tidak merayu ke Mahkamah Rayuan,” katanya.

Shaariibuu berasa kenyataannya pendek dan pihak berkaitan tanya sedikit soalan sahaja ketika perbicaraan jenayah.

Menurutnya, beliau memfailkan saman sivil dengan harapan mendapat keadilan.

“Perbicaraan jenayah membuat keputusan, tetapi bukan keadilan. Saya memohon jawapan daripada mahkamah yang dihormati ini. Saya percaya, defendan-defendan menyebabkan pembunuhan secara tidak sah terhadap anak saya,” katanya.

Altantuya dibunuh pada 2006 di kawasan hutan, di Puncak Alam dekat Shah Alam, Selangor. Dia ditembak di kepala dan badannya diletupkan,

Sirul dan Azilah, kedua mereka pengawal peribadi Najib, didapati bersalah dan dihukum mati kerana membunuh Altantuya oleh Mahkamah Persekutuan pada Februari 2015.

Razak, pembantu Najib ketika itu, yang didakwa bersubahat dengan Sirul dan Azilah, dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.

Shaariibuu, isterinya Altantsetseg Sanjaa, dan anak Altantuya, Mungunshagai, menamakan Razak, kerajaan, Sirul and Azilah sebagai pembela dalm kes saman itu.

Mereka mendakwa terdapat konspirasi dalam pembunuhan Altantuya dan menuntut RM100 juta kerugian, termasuk tuntutan tanggungan. Perbicaraan bersambung esok.