‘Kenapa geran khas tidak disemak semula’, soal Nancy Shukri

Ahli Parlimen Batang Sadong, Nancy Shukri.

KUCHING: Seorang ahli Parlimen Sarawak mempersoalkan kenapa kerajaan pusat tidak menyemak semula geran khas yang diberikan kepada negeri itu setiap tahun.

Ahli Parlimen Batang Sadong, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, Sarawak menerima peruntukan sebanyak RM60 juta daripada kerajaan pusat setiap tahun.

Sepatutnya kata beliau, jumlah tersebut mesti disemak semula setiap 5 tahun sekali. Bagaimanapun rekod negeri menunjukkan ia tidak disemak sejak 1969.

“Kita tidak tahu kenpa ia dihentikan, dan tidak ada satu jawatankuasa pun ditubuhkan,” katanya kepada FMT, dengan menambah perbelanjaan kerajaan negeri meningkat lebih 1,900% sejak waktu itu.

Beliau berkata, kerajaan Malaya bersetuju memberikan geran khas itu kepasa Sarawak berikutan pembentukan Malaysia, seperti tercatat dalam Jadual ke-10 perlembagaan persekutuan.

Nancy juga menolak dakwaan bahawa kerajaan Sarawak tidak membangkitkan isu semakan semula itu ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini, dengan berkata isu tersebut dibincang “hangat” oleh Kabinet lepas.

Atas sebab itulah Jawatankuasa Devolusi Kuasa, yang dipengerusikan bersama oleh beliau dan bekas menteri luar, Datuk Seri Anifah Aman diwujudkan, katanya.

“Kami bekerja secara agresif bagi menentukan jumlah yang patut dibayar.

“Akan tetapi banyak perkara lain berlaku pada masa yang sama, misalnya projek Pan Borneo yang bernilai berbilion ringgit, dan diminta oleh kerajaan Sarawak sejak sekian lama.”