Dr M: Mengapa dunia terpaksa ikut Israel?

Perdana menteri diberi penerangan oleh pengurusan tertinggi Badan Berkanun Persekutuan di Dewan Seri Siantan, Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi menegaskan pendirian Malaysia untuk tidak menerima atlet Israel masuk ke negara ini.

Perdana menteri menyifatkan negara itu “penjenayah” yang melanggar undang-undang antarabangsa tanpa ditegur mana-mana pihak.

Beliau dapati negara-negara di seluruh dunia terpaksa mengikut Israel, meskipun mereka boleh buat pendirian sendiri.

“Dunia ada kuasa, tapi terpaksa ikut Israel. Kita tak ikut,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian apabila ditanya sama ada Malaysia bersedih dengan perlucutan hak sebagai tuan rumah bagi acara sukan renang paralimpik tahun ini.

“Kita tak boleh anjur Olimpik, (tetapi) kita boleh anjur (sukan) yang lain (di peringkat antarabangsa),” katanya.

Dr Mahathir, sebelum ini menegaskan, kerajaan tetap dengan pendirian untuk tidak membenarkan atlet Israel bertanding pada Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching, Sarawak yang akan berlangsung dari 29 Julai hingga 4 Ogos depan.

Tindakan Malaysia tidak membenarkan atlet Israel menyertai kejohanan itu mengundang bantahan Jawatankuasa Olimpik Israel yang memberi tekanan berterusan kepada penganjur supaya atlet mereka diberi visa.

Ini memandangkan kejohanan itu dikatakan sebagai platform penting bagi kelayakan ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Mengulas lanjut, Mahathir berkata, Malaysia berhak luahkan perasaan terhadap Israel.

Beliau bertanya kenapa apabila Amerika Syarikat (AS) melarang 5 buah negara Islam masuk ke negara itu, tiada yang mengadu.

“Ini (Israel) bukan orang susah, tetapi sebuah negara yang gagal mematuhi undang-undang antarabangsa dan kita mesti tetap dengan pendirian kita,” jelasnya.

Ditanya sama ada keputusan yang sama akan dibuat terhadap negara-negara lain seperti Myanmar yang melakukan diskriminasi ke atas etnik Rohingya, dan China serta Arab Saudi kerana terlibat dengan krisis di Yaman, perdana menteri berkata:

“Ya, kita dah komen mengenai Rohingya dan negara-negara lain juga. Kita komen berdasarkan fakta. Apabila faktanya sudah disahkan, kita akan berikan pandangan,” jelasnya.

Sementara itu, Dr Mahathir mengesahkan Malaysia membenarkan kemasukan pasukan kriket dari Israel pada tahun 1997, tetapi situasi itu berbeza dengan isu kali ini.

“Saya benarkan sekolah-sekolah Israel datang ke sini untuk tunjukkan Islam bukan pengganas.

“Kita orang yang normal, kita bercakap dengan orang, kita mempunyai sikap yang baik. Kita tak buat salah apa-apa terhadap mereka,” katanya.

Ditanya sama ada kerajaan Pakatan Harapan (PH) benar-benar membatalkan projek Rel Laluan Pantai Timur (ECRL), beliau meminta untuk menunggu jawapan daripada menterinya.

“Kita tunggu (Menteri Kewangan) Lim Guan Eng,” katanya.

Jelasnya lagi, rakyat Malaysia perlu bersabar kerana manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.

“Kita kena faham, ini adalah kerajaan baru. Kesilapan yang kita buat tidak banyak tetapi rakyat boleh mengesannya kerana kita kerajaan baru,” katanya.

Diminta mengulas kenyataan timbalannya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bahawa kekalahan PH di Cameron Highlands berpunca daripada tanggapan rakyat bahawa PH adalah pembangkang, Mahathir tidak menafikannya.

“Itu pun ada juga. Ada yang ingat saya masih dalam BN (Barisan Nasional). Tak mengapalah, akhirnya dia (rakyat) akan tahu,” katanya.