NGO sokong kerajaan jadikan intip dan hendap kesalahan jenayah

WAO percaya kewujudan undang-terhadap perbuatan intip dan hendap boleh mengurangkan risiko jenayah lebih ganas. (Gambar fail)

PETALING JAYA: Dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyambut baik hasrat kerajaan untuk menggubal satu akta bagi kesalahan mengintai dan menghendap yang dilakukan individu tidak bertanggungjawab.

Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) berkata, kewujudan akta itu bakal melindungi mangsa yang terlibat, malah secara tidak langsung mengurangkan risiko penghendap melakukan jenayah yang lebih ganas.

Pengarah eksekutifnya, Sumitra Visvanathan berkata, individu yang melakukan “jenayah” itu perlu dikenakan hukuman setimpal dan perbuatan itu diletakkan di bawah Kanun Keseksaan.

“Mengintai atau menghendap bukanlah satu bentuk jenayah di Malaysia pada ketika ini. Jadi mewujudkan undang-undang mengenainya adalah satu langkah yang boleh diambil oleh pihak berkuasa.

Sumitra Visvanathan.

“Kerajaan perlu meletakkan perbuatan itu di bawah Kanun Keseksaan dan memperkenalkan perintah tahanan terhadap penghendap dalam Kanun Prosedur Jenayah. Undang-undang tersebut akan melindungi mangsa dan memastikan pelaku tidak melakukan jenayah yang lebih ganas,” katanya kepada FMT.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong baru-baru ini berkata, perbuatan mengintai atau menghendap perlu diklasifikasi sebagai perbuatan jenayah kerana ia boleh mengundang perasaan terancam dan tidak selamat kepada mangsa.

Beliau berkata, kerajaan akan melihat perkara itu dengan lebih serius, termasuk mewujudkan satu undang-undang baru bagi menangani gejala tersebut selepas mendapat maklum balas pelbagai pihak berkepentingan seperti badan bukan kerajaan dan orang awam.

“Perbuatan itu boleh menyebabkan mangsa mengalami gangguan emosi dan mengganggu rutin kehidupan mereka, di samping boleh menjejaskan aktiviti harian, termasuk pekerjaan dan tanggungjawab kepada keluarga,” katanya.

Dalam pada itu Sumitra berkata, laporan WAO pada 2013 mendokumentasikan 26% daripada 34 kes keganasan rumah tangga yang berlaku melibatkan perbuatan intip dan hendap.

Katanya peratusan itu konsisten dengan statistik di negara lain seperti Amerika Syarikat, di mana 1/3 wanita yang mengalami keganasan rumah tangga turut mengalami pengalaman diintip dan dihendap.

“Berdasarkan angka ini, besar kemungkinan kira-kira 250,000 mangsa keganasan rumah tangga di Malaysia juga pernah diintip dan dihendap oleh pasangan yang bertindak ganas terhadap mereka (26 ke 33% daripada 900,000 wanita),” katanya lagi.

Sementara itu Pengarah Komunikasi Sisters in Islam (SIS) Majidah Hashim berharap jenayah hendap yang berlaku melalui atas talian juga bakal dimasukkan ke dalam akta baru itu nanti.

“Salah seorang daripada klien kami telah memfailkan hampir 10 laporan terhadap penghendap beliau dalam 3 minggu yang lalu tetapi masih tiada tindakan diambil.

“Penting supaya penghendap dan pengintai diiktiraf sebagai jenayah kerana ia bukan sahaja mengganggu dan menjejaskan mangsa, malah orang sekeliling juga,” katanya.