Pelantikan anak dalam AIM tiada kaitan dengan KKM, kata Dr Dzulkefly

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad (tengah) pada majlis pelancaran Skim Peduli Sihat B40 di KKM hari ini.

PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pelantikan anaknya sebagai ahli Lembaga Pengarah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) tiada kaitan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dzulkefly berkata, sebelum ini beliau telah membuat penjelasan berhubung pelantikan anaknya, Nurul Iman ke AIM sejak April 2018.

“Saya dah buat penjelasan bila anak saya dilantik. Saya pun tidak tahu dia meninggalkan jawatan dia di Universiti Taylor.

“Nanti dia boleh cerita bagaimana dia jalankan tugas di AIM. Dia juga sudah buat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya pada sidang media selepas melancarkan Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (Peka B40) di Kementerian Kesihatan hari ini.

25 Januari lalu, Zulkefly mahu anaknya itu berfikir panjang sebelum membuat keputusan dalam isu menjadi ahli Lembaga Pengarah AIM selepas dipertikaikan sesetengah pihak.

“Saya minta Nurul lman fikirkan sebaik-baiknya. Sebagai seorang profesional, saya yakin beliau lebih tahu sebab penglibatannya sejak April 2018 dan mampu untuk membuat keputusan sewajarnya,” katanya dalam Twitternya.

Sebelum ini banyak pihak mempertikaikan pelantikan anak kepada pemimpin Amanah itu ke dalam AIM, selain pelantikan Datuk Junaidah Kiting, isteri setiausaha politik perdana menteri, Abu Bakar Yahya, sebagai pengerusi AIM.

Junaidah dalam satu kenyataan sebelum ini menolak dakwaan kronisme dalam pelantikan beliau, sebaliknya berkata ia dibuat berdasarkan kelayakan, pengalaman dan bakat yang boleh dimanfaatkan untuk pembangunan sesebuah organisasi.

“Sebelum dilantik sebagai pengerusi AIM, saya berusaha keras sebagai seorang usahawan wanita yang berjaya dan mampu membina jenama dalam perniagaan,” katanya.

AIM merupakan sebuah badan amanah persendirian yang ditubuhkan pada September 1987 bagi menawarkan skim pembiayaan mikro kepada golongan miskin untuk mengusahakan kegiatan ekonomi berasaskan kemahiran yang dimiliki.

Ia antara lain bertujuan mengurangkan kemiskinan dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah, selain melahirkan usahawan daripada kalangan tersebut dan orang miskin.

Terdahulu dalam ucapan pelancarannya, Dzulkefly berkata, skim Peka B40 akan dilaksanakan pada Mac tahun ini dengan peruntukan permulaan sebanyak RM100 juta.

Beliau berkata, skim itu meliputi penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan pasangan yang berumur 50 tahun ke atas akan layak menyertainya secara automatik.

Katanya, sebagai perintis, Peka B40 dapat menampung seramai 800,000 penerima.

“Peka B40 akan memberi penekanan kepada pengesanan awal penyakit yang tidak berjangkit yang kerap dialami kumpulan B40 lebih-lebih lagi bila umur meningkat,” katanya.

Beliau juga berkata, 4 manfaat dalam skim itu adalah saringan kesihatan, bantuan alat perubatan, insentif melengkapkan rawatan kanser dan inisiatif tambang pengangkutan.

Dalam pada itu kata beliau, Peka B40 diuruskan oleh syarikat kerajaan, iaitu ProtectHealth Corporation Sdn Bdh (PHCorp), yang ditubuhkan sebagai syarikat yang tidak berasaskan keuntungan di bawah KKM dan dimiliki 100% oleh kerajaan.