Protege ganti SL1M, galak graduan jadi usahawan

KUALA LUMPUR: Program Protege dilihat sebagai pengubah nasib graduan yang semakin sukar mendapatkan pekerjaan ketika ini dengan menggalakkan mereka menceburi bidang keusahawanan, kata Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.

Menteri Pembangunan Usahawan berkata 70% yang terlibat dalam Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) sebelum ini berjaya mendapat pekerjaan tetapi 30% daripadanya gagal meraih sebarang pekerjaan, dan menambah pengambilan pekerja boleh berkurangan pada masa akan datang.

Oleh itu, kerajaan berpendapat penyelesaian terbaik sekarang ini adalah melatih lebih ramai graduan menjadi usahawan supaya tidak terlalu bergantung kepada pekerjaan makan gaji.

“Dahulu, kita hanya melatih graduan untuk mencari pekerjaan tetapi rakyat harus sedar setiap tahun seramai 51,580 graduan ijazah pengajian awam dan swasta mengambil tempoh 6 bulan untuk mendapatkan pekerjaan.

“Malah pada 2016 dan 2017, lebih 72,000 orang telah dibuang kerja,” katanya pada majlis pelancaran Protege hari ini.

Isu pekerja asing

Redzuan menganggap salah satu punca kekurangan peluang pekerjaan disebabkan bilangan pekerja asing. beliau berkata rata-rata bentuk kegiatan ekonomi hari ini disokong oleh 2 juga pekerja asing yang berdaftar.

“Kalau boleh kita mahu lepasi sasaran 1 juta peluang pekerjaan tetapi perkara ini belum dapat dicapai disebabkan bilangan pekerja asing masih menjadi masalah.

“Ia tidak termasuk pekerja asing yang tidak mempunyai kelulusan dan permit,” katanya.

Faktor lain yang menyebabkan peluang pekerjaan semakin berkurangan adalah keengganan majikan mengambil lebih ramai pekerja.

“Sekarang ini sudah tidak ada lagi ‘minah kilang’. Mereka sudah pupus disebabkan kemajuan teknologi. Majikan tidak akan mengambil pekerja jika kita tidak mempunyai ‘soft skills’.

“Rakyat perlu fikir apa yang akan berlaku di masa depan, apakah pekerjaan kita akan wujud 10 tahun akan datang,” katanya.

Oleh itu, kerajaan memberi tumpuan kepada bidang keusahawanan supaya mereka yang terkesan boleh terus menyara diri dan keluarga.

Protege atau Professional Training & Education For Growing Entrepreneurs secara rasminya menggantikan SL1M yang kini bukan sahaja melatih graduan mencari pekerjaan tetapi juga menggalakkan belia menceburi bidang keusahawanan sebagai alternatif punca pendapatan.

Program ini diberi nafas baru dengan lebih penekanan kepada latihan keusahawanan bagi melahirkan ramai usahawan atau ‘job creators’ seiring dengan salah satu matlamat dalam Rangka Kerja Keusahawanan Nasional iaitu penerapan kemahiran keusahawanan untuk belia yang menganggur.

Setakat ini, Protege menyasarkan 15,000 peserta daripada golongan berbeza mengikut pengkhususan iaitu peringkat pelajar, lepasan sekolah, diploma dan ijazah, dan daripada keluarga berpendapatan rendah atau berasal dari luar bandar.