Pakar: Pertumbuhan purata gaji 2.4% kerana tenaga kerja asing

KUALA LUMPUR: Kadar gaji mesti berkembang pada purata pelarasan inflasi tahunan 3.5% untuk membolehkan negara mencapai status berpendapatan tinggi menjelang 2023.

Ketua Ekonomi Alliance Bank Malaysia Bhd Manokaran Mottain berkata pada masa ini, pertumbuhan purata gaji di negara ini sebanyak 2.4%, ekoran bekalan tenaga kerja asing yang besar.

“Untuk meningkatkan pertumbuhan gaji, anda perlu menangani isu pekerja asing, mengurangkan angkanya, dan saya yakin gaji akan naik,” katanya kepada pemberita di luar Forum Tinjauan Ekonomi dan Strategik Malaysia 2019 hari ini.

Beliau berkata kini terdapat kira-kira 2 juta pekerja asing di negara ini, dan angkanya mencapai 4 juta jika pengiraan menyeluruh dibuat.

Selain mengurangkan pekerja asing, beliau berkata kerajaan juga wajar memberi tumpuan kepada pewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi yang memberikan pendapatan yang lebih tinggi.

Beliau berkata pekerjaan mahir hanya menyumbang 25% daripada tenaga kerja di Malaysia berbanding 50% di Amerika Syarikat.

“Kerajaan perlu menyediakan lebih banyak inisiatif. Saya berharap kerajaan dapat menyediakan lebih banyak insentif untuk mengubah struktur kerja Malaysia, daripada berkemahiran rendah kepada berorientasikan kemahiran tinggi atau berorientasikan teknologi,” katanya.

Mengenai dasar ekonomi, Manokaran berharap kerajaan akan mewujudkan dasar yang boleh merangsang persekitaran ekonomi menjelang Mei tahun ini.

Sementara itu, semasa sesi panel, Ketua Ekonomi Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC) Nor Zahidi Alias yakin kerajaan masih mencari kaedah untuk menjana pendapatan tambahan.

“Sebagai perbandingan dengan negara lain, Malaysia diberikan penarafan ‘A’ oleh S&P, Moody’s dan Fitch Ratings (agensi), dan jika dibandingkan dengan negara-negara tunggal ‘A’ yang lain, pendapatan kita jauh lebih rendah.

“Antara cara yang boleh dilakukan oleh kerajaan, sudah pasti sama ada (memperkenal) cukai baru atau mungkin meluaskan skop SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan).

“Saya percaya masih ada perkara yang belum dimasukkan dalam SST. Jika kerajaan tidak dapat menaikkan cukai (semasa) atau memperkenal cukai baharu, mereka akan memperluas SST,” katanya.