Umno nafi 5,000 ahlinya sertai Warisan

Bekas ketua Umno bahagian Api Api, Basri Osman menyerahkan borang keahliannya menyertai Warisan kepada Loretto Padua Jr, Ahad lalu. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Umno Kinabatangan menolak laporan mengatakan 5,000 ahlinya meninggalkan parti itu untuk menyertai Warisan pada Ahad, menyifatkan dakwaan itu “keterlaluan”.

Ketua Penerangan Umno Kinabatangan Titing Putang memberitahu FMT hanya kira-kira 200 hadirin menghadiri majlis yang menyaksikan bekas ketua Wanita Umno Sandakan, Noraini Sulong menyerahkan permohonannya untuk menyertai Warisan.

“Saya fikir ia adalah keterlaluan bagi bekas ketua Umno bahagian Api Api, Basri Osman, dan Setiausaha Agung Warisan Loretto Padua Jr mendakwa 5,000 ahli Umno di Kinabatangan meninggalkan parti untuk menyertai Warisan,” katanya.

“Saya ada saksi yang mengatakan jumlah hadirin yang ada di majlis itu sedikit dan bukan 5,000 orang.”

Beliau menambah Umno kekal kukuh dan relevan di Kinabatangan walaupun bergelar pembangkang sekarang. Katanya, akar umbi masih percaya parti itu mampu berjuang untuk hak mereka, terutama ketika Umno Sabah kini diketuai oleh Ahli Parlimen Kinabatangan dan Ketua Umno Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Titing, yang merupakan ketua perhubungan Bung Moktar, berkata beliau tidak berkecil hati terhadap bekas ahli dan pemimpin Umno yang meninggalkan parti, termasuk Noraini yang didakwa membawa kira-kira 1,000 ahli parti menyertai Warisan.

“Terdapat beberapa orang yang tidak selesa menjadi pembangkang. Apabila Berjaya berkuasa, mereka menyertai Berjaya. Ketika PBS berkuasa, mereka melompat ke PBS dan kemudian ke Barisan Nasional. Sekarang, Warisan berkuasa, mereka memutuskan untuk menukar parti lagi.

“Kami tidak boleh halang mereka daripada melakukan ini. Ia adalah hak mereka, tetapi saya berharap mereka akan berhenti menyalahkan Umno apabila jelas mereka tidak dapat bertahan menjadi pembangkang,” katanya.

Loretto mengumumkan pada Ahad, seramai 5,000 ahli Umno dari 10 cawangan di Sandakan dan 66 di Kinabatangan menyertai Warisan.

Beliau juga berkata lebih banyak ahli Umno dijangka mengikuti jejak ahli yang lompat parti.