Chomsky nafi akan datang ke Malaysia

Pemikir Yahudi, Noam Chomsky. (gambar AFP)

PETALING JAYA: Intelektual Yahudi Amerika terkenal, Noam Chomsky, menafikan beliau akan berkongsi pentas dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di satu persidangan di Malaysia bulan depan, seperti dilaporkan.

Beliau juga menafikan dia bercadang melawat Malaysia bagi menyertai perayaan hak asasi manusia di Kuala Lumpur dalam masa sama.

Chomsky, profesor di Institut Teknologi Massachusetts yang terkenal kerana menentang Israel, memberitahu Dr Chandra Muzaffar bahawa laporan beliau akan ke Malaysia hanya khabar angin.

“Saya ada terima beberapa surat mengenai perkara ini, tapi laporan itu tidak benar. Tentunya saya sedia mengakui sekiranya benar saya akan melawat, tapi tiada rancangan demikian,” katanya dalam emel kepada Chandra.

Dalam emelnya kepada Chomsky, presiden Gerakan Antarabangsa untuk Dunia Keadilan (JUST) bertanya sama ada beliau bersedia berucap dalam persidangan yang akan dianjurkan sempena lawatanya.

Bercakap kepada FMT, Chandra hairan membaca laporan mengenai “lawatan” Chomsky.

“Sekiranya beliau akan datang, JUST tentunya tahu mengenainya,” katanya.

Chomsky pernah menjadi ahli panel penasihat antarabangsa gerakan tersebut lebih 20 tahun.

Semalam, aktivis Hishamuddin Rais, ahli lembaga Forces of Renewal for Southeast Asia, yang menganjurkan majlis tersebut, memberitahu FMT bahawa Chomsky akan menghadiri persidangan tersebut.

“Chomksy akan memberi komen mengenai politik Asia Tenggara,” katanya.

Persidangan itu sebahagian daripada Pesta Demokrasi dijadualkan dari 11 hingga 17 Februari di Publika, Kuala Lumpur.

Pemidato terkemuka lain pada persidangan tersebut adalah bekas peguam negara Indonesia, Marzuki Darusman, yang kini mempengerusikan misi pencari fakta PBB mengenai Myanmar, dan Pavin Chachavalpongpun, ahli akademi dari Pusat Pengajian Asia Tenggara di Universiti Kyoto, Jepun.