Khasiat ayam kampung yang anda kena tahu
Daging ayam kampung didapati kurang berlemak dan lebih sihat berbanding ayam yang diternak secara komersial.
Dalam banyak-banyak daging, daging kegemaran rakyat Malaysia adalah sememstinya daging ayam. Ini kerana ayam merupakan satu-satunya daging yang boleh dimakan oleh semua bangsa tanpa ragu-ragu dan terdapat pelbagai resepi ayam yang cukup menyelerakan untuk dicuba.
Daripada resepi mudah seperti ayam goreng hinggalah yang lebih rumit seperti ayam kurma, setiap isi rumah pasti menyediakan sekurang-kurangnya satu sajian berasaskan ayam dalam seminggu.
Pun begitu, ramai dalam kalangan rakyat Malaysia sendiri mula sedar tentang kepentingan mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat dan hidangan berasaskan ayam yang wujud di Malaysia setakat ini tidak dianggap sesuai untuk dikelaskan sebagai ‘sihat’. Terdapat cara untuk anda makan ayam dan kekal sihat.
Caranya mudah sahaja. Tukar ayam yang anda selalu beli dengan ayam kampung.
Kenali ayam kampung
Ayam kampung merupakan ayam ternak yang bersaiz kecil. Ayam kampung lazimnya mempunyai bulu pelepah berwarna merah-hitam.
Secara tradisionalnya ia dipelihara untuk daging dan telur. Namun, ayam kampung mempunyai kadar pengeluaran yang rendah berbanding ayam komersial lain. Ayam kampung betina lazimnya, menghasilkan 55 hingga 100 biji telur setiap tahun dengan berat purat kira-kira 39 gram. Kualiti telur ayam kampung ini bergantung pada cara eraman telur tersebut.
Bagi ayam kampung yang diternak untuk daging pula, mencecah berat 1-1.5kg terlebih dahulu. Sebelum ayam kampung diternak secara besar-besaran untuk pasaran komersial, harga ayam kampung adalah lebih tinggi daripada daging ayam lain. Kini, ayam kampung boleh diperoleh pada harga yang berpatutan di kebanyakan pasar tempatan.
Ayam kampung vs ayam ternak lepas
Kebanyakan pengguna menganggap ayam kampung dan ayam ternak lepas adalah sama. Tetapi, ayam kampung merujuk pada jenis baka ayam yang berasal di Malaysia.
Ayam ternak lepas merujuk pada ayam yang diternak tanpa kawalan dan diberi makanan organik. Ayam ternak lepas ini bergerak bebas di kawasan lapang yang berumput. Namun begitu, cara tersebut adalah cara ternak lepas yang digunakan pada zaman dahulu.
Kini, ayam ternak lepas dilakukan di kawasan yang tertutup tetapi luas untuk ayam bergerak bebas. Oleh itu, dalam memilih ayam yang betul-betul organik dan sihat, anda perlu pastikan ayam kampung yang dibeli adalah diternak secara ternak lepas dan diberi makanan organik.
Produk ayam kampung
Manfaat kesihatan yang diperoleh daripada ayam kampung adalah pada daging dan juga telur yang dihasilkan.
Daging ayam kampung didapati kurang berlemak dan lebih sihat berbanding ayam yang diternak secara komersial. Namun begitu, tekstur daging ayam kampung adalah lebih liat, rasa daging itu sendiri lebih manis.
Sebenarnya, nilai kesihatan sebenar ayam kampung adalah pada telur ayam tersebut. Berbanding telur ayam biasa yang dijual di pasar raya, telur ayam kampung mempunyai kandungan omega-3 yang lebih tinggi di samping kaya mineral dan vitamin.
Kualiti nutrien dalam telur dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti makanan yang diberi kepada ayam, cara ayam diternak dan juga kebebasan yang diberi untuk ayam bergerak. Perbezaan kualiti ini dapat dilihat menerusi warna telur kuning dan juga ketebalan kulit telur.
Telur ayam biasa mempunyai warna telur kuning yang lebih pudar dan mulit yang lebih nipis berbanding telur ayam kampung yang mempunyai warna telur kuning yang lebih terang dan kulit tebal.
Khasiat dan nutrien telur ayam kampung
Telur ayam kampung mempunyai minyak Omega 3 yang sudah terbukti mampu menghindari penyakit jantung, merendahkan kadar kolestrol dan tekanan darah tinggi.
Dalam telur ayam kampung, kandungan lemak asid omega-3 adalah 6 kali ganda lebih banyak berbanding telur biasa. Namun begitu, kandungan omega-3 daripada 2 biji telur ayam kampung masih sedikit berbanding kandungan omega-3 yang terkandung dalam 3 auns ikan salmon.
Ayam kampung sebenarnya, jika diternak dengan betul, pasti memberi banyak manfaat kepada kesihatan manusia. Oleh itu, anda perlulah selidik dahulu supaya dapat mengenal pasti pengeluar ayam kampung yang memberikan bekalan daging dan juga telur ayam kampung yang berkualiti.
Artikel ini pernah diterbitkan di www.butterkicap.com
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]