Lantikan lembaga Yadim berdasar merit, kata Mujahid

Mujahid Yusof Rawa (duduk, tengah) dan timbalannya Fuziah Salleh bergambar bersama ahli lembaga pemegang amanah Yadim yang baru.

PUTRAJAYA: Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa menegaskan lantikan 12 ahli lembaga pemegang amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) yang diumumkan secara rasmi hari ini, dibuat berdasarkan merit dan kelayakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata dakwaan mengatakan ia adalah lantikan politik adalah tidak berasas kerana mereka dipilih selepas diteliti pengalaman dan kelayakan mereka untuk memimpin Yadim.

“Asasnya ialah merit. Kebetulan yang merit itu kita nampak di kalangan mereka itu dan kebetulan juga mereka bersama parti-parti tertentu. Jadi kalaupun mereka bersama mana-mana parti politik termasuk YB-YB yang ada, itu ialah secara kebetulan.

“Yang kita ambil ialah pengalaman mereka untuk memimpin Yadim,” katanya selepas majlis penyerahan watiqah pelantikan ahli lembaga pemegang amanah Yadim, hari ini.

Sebelum ini beberapa pihak mempersoalkan pelantikan barisan ahli lembaga agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri itu yang hampir semuanya terdiri daripada ahli politik.

Mengikut senarai itu, seramai 10 daripada 12 orang atau hampir 85% daripada mereka adalah ahli politik Pakatan Harapan (PH), termasuk seorang daripada DAP.

Mujahid berkata mereka dipilih bagi memastikan 3 gagasan yang diteraskan dalam Al-Quran mengenai konsep Rahmatan Lil Alamin dapat dibawa ke dalam Yadim.

“Sudah tentu kalau saya sebagai orang yang mencadangkan nama untuk dipersetujui oleh perdana menteri, saya mahulah mereka yang duduk dalam Yadim ini mereka yang dapat ikut 3 gagasan itu, Rahmatan Lil Alamin, maqasid syariah dan kaedah fiqh Malaysia, bukan melantik sesiapa sahaja yang tak boleh bawa gagasan kita ini,” katanya lagi.

Ditubuhkan pada 1974, Yadim memangkin penyebaran dakwah dan menyelaras kegiatan badan dakwah agar seiring dengan dasar negara.

Ia kini dipimpin Nik Omar Nik Abdul Aziz, anak kepada bekas mursyidul am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Mujahid turut memberikan amaran tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak atau individu yang cuba mempertikai dan mengganggu pelantikan baru agensi itu.

“Satu perkara yang cukup bahaya apabila mengaitkan pelantikan Sheik Umar kononnya sebagai pelantikan DAP dan mereka meneruskan pembohongan dengan menyatakan kononnya DAP tidak mengiktiraf Islam, lalu saya melantik orang yang tidak iktiraf Islam sebagai agama persekutuan.

“Saya memberi amaran kalau berterusan perkara ini baik dalam atau di luar Yadim atau di media sosial sekalipun, tindakan tegas akan diambil. Itu pembohongan dan fitnah yang memecahbelahkan orang Islam hanya kerana kepentingan sempit kepartian politik pihak tertentu.”