Umur 50 tahun pun boleh masuk program usahawan Protege

Gambar Bloomberg.

KUALA LUMPUR: Bagi menangani masalah pengangguran, kerajaan mengambil inisiatif membuka peluang pekerjaan menerusi Protege, bukan sahaja untuk graduan tetapi juga kakitangan yang kehilangan pekerjaan, kata ketua sekretariat program usahawan itu.

Norashikin Ismail berkata, ia disebabkan kadar pemberhentian pekerja yang membimbangkan. Tahun lalu kira-kira 23,525 orang kehilangan pekerjaan dan terdiri daripada kategori bergaji tinggi manakala statistik pada 2016 dan 2017 menunjukkan lebih 72,000 dibuang kerja.

“Walaupun sasaran Protege adalah golongan belia, tiada sebarang had umur dikenakan, kalau umur 50 tahun tetapi dibuang kerja dan mahu menjadi usahawan juga boleh sertai kami,” katanya kepada FMT.

Berbeza dengan SL1M, Protege terbuka kepada pelbagai peringkat kelayakan termasuk lulusan SPM dan diploma.

“Dahulu apabila lulusan SPM dan diploma tidak boleh sertai SL1M, kita dikecam habis-habisan, sekarang semua orang boleh masuk, kalau tidak berusaha bersungguh-sungguh, jangan salahkan kami pula.

“Kalau ‘mat rempit’ nak buat perkhidmatan menghantar makanan pun kami akan bantu, namun menjadi usahawan bukan senang, ia mengambil masa lebih setahun untuk berjaya, jadi kita akan bantu sebanyak yang mungkin,” kata Norashikin.

Ketua Sekretariat Protege, Norashikin Ismail.

Pada masa sama, Protege akan berusaha mengadakan kerjasama erat bersama semua kementerian serta syarikat bagi memastikan semua peserta mempunyai pekerjaan.

“Sasaran kita memastikan golongan belia terutamanya tidak menjadi liabiliti sebaliknya menjadi aset kepada negara, sebab itu kita memerlukan kerjasama semua pihak,” katanya.

Sehingga 31 Disember 2018, seramai 226,251 peserta SL1M yang mana 132,261 peserta iaitu 70% berjaya mendapatkan pekerjaan.

Protege menyasarkan minimum 15,000 peserta pada tahun ini namun menerima peruntukan sebanyak RM5 juta iaitu bajet yang jauh lebih kecil berbanding RM50 juta tahun lalu.

Kos untuk melatih seorang peserta dalam program 12 bulan, elaun dan mengajar kemahiran insaniah adalah berjumlah hampir RM30,000.

“30% yang gagal mendapatkan pekerjaan selepas menyertai SL1M, mereka juga akan diberi peluang menerusi Protege,” kata Norashikin.

Beliau berkata bajet kecil Protege tidak akan menjadi penghalang sebaliknya dijangka mengurangkan kadar pengangguran.