Wakil rakyat DAP pertahan lantikan ke lembaga Yadim

PUTRAJAYA: Sheikh Umar Bagharib Ali mempertahankan pelantikan ke lembaga pemegang amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malayia (Yadim) yang mengundang kritikan banyak pihak kerana keahlian parti politiknya.

Ahli politik DAP itu berkata pelantikannya menjadi pertikaian atas dasar politik semata-mata.

“Kalau DAP ini parti yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, DAP sebenarnya boleh diharamkan. Perkara itu tak berlaku meskipun sewaktu pemerintahan BN dulu,” katanya pada sidang media.

Sheikh Umar bagaimanapun meminta pengkritik melihat pelantikan sebagai “lonjakan positif”

“Saya rasa tidak ada isu DAP anti-Islam dan sebagainya. Apa yang berlaku ialah momokan untuk memburukkan DAP dalam kerangka politik yang sempit,” katanya.

Semalam, Ketua Pemuda Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dilapor mempersoalkan pelantikan Sheikh Umar ke badan dakwah itu kerana DAP “tidak pernah mahu iktiraf Islam sebagai agama negara” dan konsisten mahu menjadikan Malaysia “negara sekular”.

Sheikh Umar bagaimanapun meminta pengkritik melihat pelantikan sbagai “lonjakan positif”.

“Ini satu perkembangan yang baik. Siapa saya dan apa latar belakang saya tidaklah hebat macam orang lain, tapi saya rasa saya mampu menyumbang sebaik mungkin untuk perkembagan dakwah.

“Mereka akan faham dalam DAP juga ada orang yang ada kelayakan untuk bercakap soal Islam dan ada kemampuan untuk berada dalam sesetengah portfolio yang berkaitan dengan Isla,” katanya.

Difahamkan, Sheikh Umar dilantik untuk tempoh 2 tahun.

Ditubuhkan pada 1974, Yadim memangkin penyebaran dakwah dan menyelaras kegiatan badan-badan dakwah agar seiring dengan dasar negara.

Ia kini dipimpin oleh Nik Omar Nik Abdul Aziz, anak kepada bekas mursyidul am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa tidak melihat sebarang masalah melantik Sheikh Umar ke lembaga pemegang amanah Yadim memandangkan dia mempunyai pemahaman Islam yang jelas.