Kanak-kanak mati lemas di tasik Bandar Puteri Klang

Pasukan PPDA mengambil masa 2 jam bagi mencari mayat mangsa berikutan dasar tasik yang berselut dengan keadaan air yang deras akibat hujan. (Gambar Facebook)

SHAH ALAM: Seorang kanak-kanak ditemui mati lemas selepas terjatuh ke dalam tasik di Bandar Puteri Klang dekat sini, petang ini.

Ketua Balai Bomba Taman Sri Andalas, A Romzi Abu berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 4.40 petang itu mangsa, Tan Wei Xiang, 12, yang datang ke tasik berkenaan bersama 2 lagi rakannya dipercayai tergelincir dan terjatuh ke dalam tasik berkenaan.

“Mangsa terjatuh di kawasan saluran air masuk ke tasik ini ketika bermain bersama rakannya kerana kawasan berkenaan licin selepas hujan. Tasik ini juga berfungsi sebagai kawasan takungan air ketika hujan lebat.

“Kami terima panggilan kecemasan kira-kira pukul 5.00 petang dan 13 anggota bomba termasuk 5 anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA),” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Pasukan PPDA mengambil masa 2 jam bagi mencari mayat mangsa berikutan dasar tasik yang berselut ditambah dengan keadaan air yang deras akibat hujan.

“Mayat mangsa ditemui pada jarak 4 meter dari tempat dia terjatuh dan berada pada kedalamam 3 meter,” katanya.

Kata A Romzi lagi, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang bagi bedah siasat.