Peguam wakili kerajaan dalam tribunal siasat bekas pesuruhjaya SPR disingkir?

M Puravalen (kanan) di Kompleks Mahkamah Klang pada 28 Jan selepas menghadiri pendengaran tribunal untuk menyiasat 6 bekas pesuruhjaya SPR.

PETALING JAYA: Peguam Negara, Tommy Thomas telah menyingkirkan seorang peguam yang mewakili kerajaan dalam tribunal menyiasat bekas pesuruhjaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), FMT difahamkan.

Difahami bahawa M Puravalen, pegawai pelaksana dalam tribunal bagi menyiasat 6 bekas pesuruhjaya SPR berhubung cara mereka mengendalikan pilihan raya umum tahun lepas dimaklumkan oleh Tommy bahawa beliau tidak lagi mewakili kerajaan.

“Tidak jelas bila surat itu dikirim kepada Puravelan selepas tribunal tersebut bersidang Isnin lalu,” sumber memberitahu FMT.

Puravalen tidak dapat dihubungi untuk komen.

Ini berlaku sehari selepas Tommy tidak bersetuju dengan kenyataan Puravalen bahawa keputusan tribunal itu akan menjadi akademik kerana bekas pesuruhjaya SPR tersebut telah meletakkan jawatan.

“Ini merupakan dakwaan serius, yang jika dibuktikan, akan menunjukkan kesalahan peribadi pesuruhjaya SPR terbabit berkaitan cara bagaimana pilihan raya umum ke-14 dikendalikan,” kata Tommy.

Beliau juga mendakwa bekas pesuruhjaya SPR itu cuba menggagalkan siasatan tribunal dengan meletakkan jawatan dan mengelak daripada “dimalukan kerana dipecat”.

Tribunal tersebut yang dianggotai oleh Tan Sri Steve Shim, Datuk Zaleha Zahari, Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha dan Datuk Prasad Sandosham Abraham dijangka membuat keputusan sama ada perkara itu adalah akademik pada satu tarikh yang akan ditetapkan.

Difahamkan bahawa 13 tuduhan dirangka terhadap 6 bekas pesuruhjaya SPR berkenaan berkait peranan mereka menyediakan laporan persempadanan semula kawasan pilihan raya dan cara bagaimana pilihan raya umum 9 Mei dikendalikan.

Mereka berenam, iaitu Tan Sri Othman Mahmood, Datuk Md Yusop Mansor, Datuk Abdul Aziz Khalidin, Datuk Sulaiman Narawi, Datuk Leo Chong Cheong dan Datuk Bala Singam Karupiah meletakkan jawatan sebaik sahaja kerajaan mengumumkan penubuhan tribunal untuk menyiasat dakwaan salah laku terhadap mereka.