Tinggal semingggu sahaja lagi untuk sambutan peryaan Tahun Baru Cina, dan ramai yang sudah merancang cuti serta perjalanan balik ke kampung halaman masing-masing.
Tidak kiralah, Melayu, Cina, India atau lain-lain, semua orang tidak mahu melepaskan peluang cuti panjang untuk berehat dan meluangkan masa bersama keluarga.
Memandangkan 1 Februari adalah cuti umum bagi Wilayah Perseketuan, Labuan dan Putrajaya sempena Hari Wilayah, maka ramai yang sudah merancang cuti awal dan panjang.
Jadi kawasan perumahan di Kuala Lumpur dijangka mulai lengang dan sunyi lebih awal.
Namun, perlu diingatkan, ia juga waktu anda harus berjaga-jaga dan memastikan aspek keselamatan diutamakan sama ada bagi rumah yang akan ditinggalkan atau sewaktu perjalanan kelak.
FMT Ohsem senaraikan beberapa panduan yang boleh diikuti sebelum pulang ke kampung. Sila periksa ‘checklist’ ini supaya anda tidak ‘tertinggal’ atau cuai sehingga mendatangkan masalah kelak.
1. Pastikan suis elektrik agar semua peralatan elektrik sudah dimatikan dan plug dicabut dari soket kecuali suis penggera keselamatan. Jika anda mempunyai pemanas air, padamkan dahulu bagi mengelakkan air kering dan menyebabkannya terbakar. Jika peti ais rumah anda tidak mempunyai makanan mentah atau basah, tutup suisnya untuk menjimatkan elektrik. Jangan lupa juga untuk memeriksa tong gas anda, tutup rapi atau bagi yang menggunakan saluran, pastikan semuanya dalam keaadaan selamat.
2. Simpan semua barang berharga
Simpan barang berharga seperti barang kemas, buku bank, geran rumah, geran kereta dan apa sahaja yang berharga di tempat yang selamat.
Pastikan rumah berkunci, periksa kunci di pintu rumah, pintu bilik dan pintu pagar rumah anda. Ambil inisiatif untuk pastikan semua kunci masih berfungsi dengan baik.
Jika ada pengawal keselamatan sekali pun anda tidak boleh leka dan terlalu bergantung kepada mereka. Jika anda memasang alat keselamatan seperti siren dan kamera litar tertutup, pastikan ia mempunyai bekalan kuasa yang cukup untuk berfungsi.
3. Nyalakan lampu rumah
Pasang lampu rumah sebelum pulang ke kampung agar keselamatan rumah lebih terjamin, jika boleh atur lampu automatik yang boleh menyala pada waktu gelap dan padam pada siang hari.
Jadi orang yang lalu lalang akan fikir rumah dihuni dan menawarkan gambaran selamat.
Seminggu sebelum pulang ke kampung anda kena lakukan perkara di bawah:
1. Servis kenderaan anda sebelum berjalan jauh dan periksa kondisi kenderaan tersebut. Daripada tekanan, bunga tayar serta gas penyaman udara, pengelap cermin, fungsi lampu dan sebagainya. Lihat juga paras air bateri kereta dan paras minyak hitam enjin.
2. Walaupun anda tidak mengunakan kereta dan memilih menggunakan pengakutan awam, pastikan anda membeli tiket lebih awal kerana takut tiket telah habis dijual.
3. Jangan lupa periksa betul-betul berapa baki yang terdapat dalam SmartTAG atau kad Touch ‘n Go anda. Pastikan jumlah tersebut mencukupi untuk digunakan sepanjang perjalanan nanti. Malaysia ni banyak tol, jangan lupa top up cukup-cukup ye!
4. Jika merancang untuk mulakan perjalanan pada waktu pagi, pastikan anda caj telefon bimbit dan power bank pada malam sebelumnya. Jangan lupa bawa kabel pengecas sebagai persediaan untuk mengecaj telefon bimbit anda di dalam kereta juga.
5. Bagi mengelakkan anak meragam kerana perjalanan yang lama dan mengganggu pemanduan, anda boleh muat turun filem atau lagu-lagu menarik buat tontonan mereka. Boleh juga bawa buku-buku kesukaan untuk mereka baca.
Persediaan diri sendiri dan anak-anak
1. Sediakan pakaiaan yang mencukupi untuk pulang ke kampung kerana kita tidak tahu situasi di kampung. Jika boleh bawa baju tambahan untuk diletakkan di dalam kereta dikhuatiri anak muntah ataupun terkencing atau anda perlu menyalin baju kerana tidak selesa dengan pemanduan yang lama dan jauh.
2. Bawa lampin pakai buang secukupnya kerana mungkin anda tidak dapat beli jenama yang sama di kampung. Simpan beberapa lampin pakai buang di dalam kereta agar senang untuk menukarnya dan elak menyusahkan diri menyelongkah bonet kereta. Kepada wanita, yang didatangi haid, bawa juga tuala wanita lebih bagi mengelak sebarang perkara yang tidak diingini.
3. Bawa bekalan susu yang cukup sepanjang tempoh bercuti di kampung kerana bimbang jenama susu yang diminum anak tidak dijual di kampung atau sukar diperolehi. Sebaiknya simpan dalam beberapa bungkusan pakai buang agar tidak melecehkan. Jangan lupa bawa botol termos untuk menyimpan air panas.
4. Peralatan mandian perlu disediakan terutama sekali jika anda mempunyai anak yang berkulit sensitif. Tentu dia tidak boleh menggunakan sembarangan jenama atau alat mandian jadi pastikan anda bawa peralatan mandiannya.
5. Ramai yang tidak terfikir untuk membawa bekalan perubatan. Antara ubat-ubatan yang mesti dibawa ialah paracetamol, ubat batuk, selesema, ubat gigitan serangga, ubat ruam dan ubat alahan. Ini kerana penyakit berkenaan mudah menyerang anda dan juga keluarga.
6. Sebaiknya lebih elok membawa makanan dan kudapan bersesuaian untuk si kecil yang berusia setahun dan ke atas. Maklumlah mereka mudah lapar dan akan merengek sepanjang perjalanan. Jika boleh, siapkanlah makanan yang sesuai untuk mereka, kerana perjalanan yang jauh akan buatkan mereka mual dan masuk angin.
7. Apabila selesai sahaja makan, perlu banyak minum air masak apatah lagi pada musim panas. Jadi, sediakan cawan khas atau botol air yang selalu digunakan untuk minum air masak. Sediakan botol air masing-masing supaya anak-anak tidak bergaduh kelak.
8. Berus gigi & ubat gigi si kecil yang sudah boleh menggosok gigi, jangan tertinggal keperluan penjagaan kebersihan mereka. Bimbang pula sakit gigi selepas bercuti nanti.
9. Buat keluarga yang memiliki anak kecil, pasang kerusi kanak-kanak untuk menjamin keselamatan mereka.
10. Apabila tibanya musim perayaan maka ramai yang berpusu-pusu pulang ke kampung. Kesesakkan sudah menjadi satu kemestian namun merancang perjalanan terlebih dahulu sedikit sebanyak dapat membantu.
Sebaiknya bertolaklah pada waktu malam agar anak-anak anda selesa untuk terus tidur dan tidak banyak meragam semasa perjalanan yang panjang. Ambil rehat yang cukup sebelum memulakan perjalanan pada waktu malam.
11. Rehat atau tangguhkan perjalanan di mana-mana Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) sekiranya pemandu berasa letih, mengantuk atau tidak tenteram. Dapatkan secawan kopi.
Selamat pulang ke kampung halaman masing-masing, dan periksa aplikasi panduan jalan raya memulakan perjalanan agar anda tidak tersekat di dalam kesesakan lalu lintas terlalu lama bersama keluarga tercinta pada musim perayaaan ini.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]