Ucapan Hadi: Jangan hanya tunggu SPR buat laporan, kata Azhar

Pengerusi SPR, Azhar Harun berkata, sekretariatnya akan meneliti ucapan Hadi sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata, mana-mana pihak atau individu boleh membuat laporan secara terus kepada polis jika mendapati berlaku salah laku atau pelanggaran undang-undang, termasuk cubaan menghasut sepanjang tempoh berlangsungnya pilihan raya.

Pengerusinya Azhar Harun berkata, perkara itu boleh dilakukan tanpa perlu menunggu tindakan daripada SPR supaya hasrat untuk mendapat pilihan raya yang bersih dan telus berjaya dicapai.

Katanya, tugas membuat laporan polis bukan hanya terikat kepada bidang kuasa badan itu sahaja, sebaliknya pihak lain yang mempunyai maklumat boleh turut membantu dengan berbuat demikian.

“SPR tidak ada di situ pada ketika itu. Mana keprihatinan rakyat (untuk) datang buat laporan mengenai kesalahan ini? Kalau dia rasa (ucapan) itu salah, kenapa dia tidak buat laporan jika dia ada maklumat? Kenapa nak gesa saya lapor, nak gesa SPR lapor?

“Kalau sesiapa yang ada maklumat, mereka sepatutnya pergi buat laporan, jangan tunggu saya,” katanya kepada FMT, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas gesaan peguam Syed Iskandar Syed Jaafar al-Mahdzar yang meminta agensi itu supaya membuat laporan polis terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung ucapan beliau yang didakwa memberitahu pengundi Islam dalam pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands Sabtu lepas bahawa mereka wajib mengundi hanya calon beragama Islam.

Peguam itu berkata, dengan berkata demikian, pemimpin PAS itu melanggar undang-undang dengan menggunakan sentimen agama untuk mempengaruhi pengundi.

“SPR mesti menunjukkan bahawa ia serius, dan tiada sesiapa dibenarkan melanggar undang-undang seperti menggunakan kaum dan agama untuk mempengaruhi sebahagian anggota masyarakat supaya mengundi menurut cara tertentu,” katanya kepada FMT sebelum ini.

Katanya, kegagalan SPR bertindak boleh menggalakkan pemimpin daripada kedua-dua kumpulan politik melakukan perkara sama dalam PRK Semenyih akan datang, yang tempoh berkempennya akan bermula selepas hari penamaan calon pada 16 Feb depan.

Sementara itu, Azhar berkata, SPR tidak akan berdiam diri dan akan mengarahkan sekretariatnya untuk meneliti ucapan yang dibuat Hadi sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.

Mengulas mengenai perbandingan tentang laporan polis yang dibuat SPR terhadap bekas calon Pakatan Harapan (PH) M Manogaran, Azhar berkata, perkara itu berbeza kerana pemantau pilihan raya sendiri berada di tempat kejadian pada ketika itu.

“Itu terjadi di pusat pengundian di mana SPR sendiri ada di situ. Pegawai SPR sendiri iring dia keluar, jadi kita dimaklumkan terus dalam perkara itu. Tentang Hadi saya sendiri tak tahu bila dan di mana dia berkata begitu, sama ada benda itu direkodkan atau tidak. Saya pun tak tahu,” katanya lagi.

Beliau turut mengesahkan tidak menerima sebarang laporan berhubung kenyataan Hadi itu pada ketika ini.

Terdahulu Syed Iskandar berkata, SPR perlu konsisten dalam tindakannya kerana ia telah membuat laporan polis terhadap calon PH M Manogaran kerana memakai baju dengan logo parti itu di sebuah pusat mengundi.

SPR yang membuat laporan itu di balai polis Sungai Koyan berkata, Manogaran melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya (EOA) 1954.

Syed Iskandar berkata, beliau percaya Hadi melanggar akta yang sama dengan menimbulkan perasaan tidak baik atau permusuhan.