Surat tunjuk Malaysia tolak tawaran ECRL murah dari China timbulkan persoalan

ECRL sepanjang 688-km yang akan menghubungkan Pelabuhan Klang dengan Pengkalan Kubor, Kelantan dikaji semula selepas kerajaan bertukar tahun lepas. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Timbul lebih banyak persoalan mengenai nasib projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), kali ini kerana surat yang memaklumkan China Communications Construction Company (CCCC) bahawa kerajaan tidak menerima tawaran mengurangkan kos projek tersebut daripada syarikat itu.

Dalam surat yang dimuatnaik di media sosial itu, syarikat berkaitan Kementerian Kewangan, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) memberitahu CCCC bahawa satu-satunya cara untuk maju ke depan adalah bersama menamatkan projek itu.

MRL ketika dihubungi enggan mengulas. FMT menunggu jawapan daripada pejabat CCCC di Malaysia.

Ketika ditanya mengenai pendirian Malaysia tentang tawaran China itu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sekadar menjawab rundingan masih berjalan.

“Saya tidak boleh mengatakan apa yang sedang berlaku dan saya perlu menunggu hasilnya,” katanya kepada pemberita di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya.

Surat itu antara lain menyatakan kerajaan tidak boleh mewajarkan kos tinggi projek itu dengan kebarangkalian manfaatnya.

“Pendirian MRL tidak berubah. Tidak ada cadangan yang dikemukakan oleh CCCC yang memenuhi jangkaan MRL atau boleh dilaksanakan dalam parameter keperluan Malaysia dan kekangan belanjawan,” kat surat bertarikh 31 Januari itu.

Walaupun laporan ECRL dibatalkan oleh Putrajaya, Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan belum membuat keputusan muktamad mengenai nasib projek RM81 bilion itu.

Sebaliknya, perdana menteri berkata mungkin ada lebih banyak rundingan mengenai projek itu.

Semalam, Reuters memetik sumber berkata China menawarkan hampir separuh kos projek itu kerana mahu menyelamatkan projek prasarananya di Asia Tenggara.